Manuskrip ditolak penerbit adalah senario biasa dalam dunia penerbitan. Tidak kiralah apa yang nak diterbitkan: buku agama, novel, buku akademik, makalah jurnal dan lain-lain.   

Ada penerbit yang menolak sehingga 90% daripada manuskrip. Bunyi macam kejam, tetapi itulah hakikatnya.

Apa perasaan bila manuskrip ditolak?

Mestilah sedih. Kan.

Kenapa Manuskrip ditolak?

Ada sebabnya kenapa manuskrip ditolak. Dan sebab-sebabnya sangat relevan.

Berikut adalah 3 sebab kenapa manuskrip ditolak penerbit.

1. Bukan skop penerbitan

Sebelum hantar manuskrip, semak skop dan genre penerbitan penerbit itu. Jika penerbit menerbitkan novel, penulisan novel bagaimanakah yang diterima. Adakah semua bentuk novel termasuk cinta, seram dan sains fiksyen diterima? Adakah penerbit menerbitkan biografi?    

Kenal pasti bahasa konten yang diterbitkan penerbit. Misalnya, jika DBP tidak terbitkan karya Bahasa Inggeris, tak perlu lah hantar dan cuba ubah polisi. Nanti panjang pula cerita. Nak menunggu dah satu hal.  

Bila menghantar manuskrip untuk terbitan sebagai makalah jurnal, pastikan juga skopnya betul. Jika jurnal memfokuskan kepada geografi, jangan lah pulak nak hantar manuskrip keagamaan.

2. Tidak ikut panduan

Mungkin sesetengah syarikat menerbitkan novel cinta dan kasih sayang, tetapi mengenakan syarat-syarat dalam kandungannya. Contohnya, PTS Media yang mengamalkan prinsip patuh syariah tidak membenarkan adegan bercium dan berpegang tangan antara pasangan kekasih dalam buku. PTS juga hanya menerbitkan penulisan dalam Bahasa Melayu Tinggi.

Ambil tahu hal tersebut.

Begitu juga dengan penerbit akademik. Penulisan harus mengikut gaya, panduan dan format yang ditetapkan. Contohnya, jika format bibliografi penerbit adalah gaya Harvard tetapi penulis menggunakan gaya Chicago Manual of Style, tunggulah manuskrip itu dipulangkan semula.

Penerbit yang baik akan menyediakan panduan penulisan manuskrip di laman web. Kenal pasti syarat dan panduan penerbit yang menjadi prospek anda.

3. Penerbit tidak berkenan dengan kandungan

Ada manuskrip yang ditolak disebabkan oleh kandungan itu sendiri.

Contohnya, tahap Bahasa Inggeris tidak memuaskan.

Boleh jadi kandungan atau storyboard yang hampir sama pernah diterbitkan sebelum ini.

Mungkin juga penerbit merasakan pasaran untuk konten anda kurang “kick.”

Dunia akademik pula mengamalkan konsep pewasitan atau peer review, yang mana manuskrip berpotensi diberikan kepada mereka yang pakar dalam bidang kajian untuk dinilai. Penilaian yang kurang enak selalunya akan menjurus kepada penolakan.  

Apapun, manuskrip ditolak bukan kerana penerbit suka-suka. Malah, bila manuskrip ditolak, penerbit juga rugi. Mereka rugi sumber yang telah digunakan untuk menelaah manuskrip itu. Mereka juga rugi daripada segi potensi produk dan pendapatan. Yelah, produk dah tak boleh pakai.