Dua hari lagi, Pesta Buku Indonesia 2017 atau Indonesia International Book Fair 2017 (IIBF 2017) akan bermula.

Berlangsung di Jakarta Convention Center, Pesta buku ini akan diadakan selama 5 hari, bermula pada 6 September dan berakhir pada 10 September 2017.

Jakarta Convention Center (foto: retailnews.asia)

Pesta Buku Indonesia dianjurkan oleh Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI), sebuah persatuan besar yang menghimpunkan penerbit-penerbit tempatan di Indonesia.

IKAPI yang bermula lebih 60 tahun lalu dengan hanya 13 penerbit kini dikuatkan dengan keanggotaan lebih daripada 1,300 penerbit, dengan hampir separuh daripada mereka berpusat di Jakarta. Menurut IKAPI, hampir 800 daripada jumlah 1,300 ini adalah penerbit aktif.    

Bermula tahun 2014, Pesta Buku Indonesia mula melantik negara Guest of Honours, bermula dengan Arab Saudi dan kemudiannya Korea Selatan.

Malaysia dipilih menjadi Guest of Honours pada tahun lepas.

Pavilion Malaysia 2016 (foto:indonesia-bookfair.com/)

Pada masa ini, wakil-wakil penerbit dari Malaysia sudah mula berkumpul atau dalam perjalanan ke Jakarta. Delegasi Malaysia diketuai oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB).

Banyak rancangan telah diatur oleh ITBM, PKB dan wakil-wakil dari Malaysia. Antaranya adalah pelancaran buku oleh beberapa penerbit, ulasan dan dialog, perjumpaan antara wakil penerbit, bicara buku, dan persembahan.

Buku Datuk Vida, terbitan ITBM juga akan dilancarkan di pesta buku ini.

Apa pentingya Pesta Buku Indonesia 2017 yang mungkin menarik atau membantu industri perbukuan dan penerbitan di Malaysia?

Pasaran Pembeli Terbesar Hak Cipta di Asia Tenggara

Menurut laporan penganjur Frankfurt Book Fair, dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara, Indonesia buat masa ini adalah pasaran terbesar untuk pembelian hak cipta.

Buat masa ini, Indonesia melahirkan lebih 30,000 judul baru setahun. Malaysia pula menghasilkan kira-kira 16,000-18,000 judul baru setahun.

Sekali imbas, nampak seperti Indonesia hampir dua kali ganda lebih baik daripada Malaysia.

Namun begitu, mengikut UNESCO, populasi negara perlu dikira dalam menisbahkan terbitan baru. UNESCO mensyaratkan bahawa, untuk sesebuah negara kekal berdaya maju, nilai judul terbitan baru berbanding populasi harus mencecah 0.1%.

Populasi Indonesia adalah 260 juta. Bermakna nisbah judul baru:populasi adalah hanya 0.01%. Ini menunjukkan bahawa Indonesia perlu berusaha bersungguh sungguh untuk meningkatkan produktiviti penerbitan, dan perolehan hak cipta menjadi salah satu agenda utama.

Sementara Malaysia, dengan populasi 31 juta, merekodkan nisbah 0.06%. Belum mencapai tahap, tetapi sedikit lebih baik.

Genre Permintaan Tinggi

Genre penerbitan yang dalam permintaan tertinggi di Indonesia adalah buku kanak-kanak, fiksyen dan sastera, agama, dan buku teks institusi pengajian. Menurut laporan oleh Frankfurt Book Fair, pasaran buku keagamaan (Islam) adalah kira-kira 30%.

Unjuran laporan Frankfurt Book Fair juga menunjukkan bahawa Indonesia mempunyai jumlah saiz pasaran berjumlah lebih RM300 juta, dengan peningkatan tahunan sebanyak 6%.

Potensi Pasaran Akademik

Indonesia memandang tinggi penerbitan ilmiah di Malaysia dan seringkali menjadikan penerbit-penerbit universiti di Malaysia sebagai penanda aras penerbitan di sana. Beberapa universiti awam di Malaysia juga telah didekati untuk membolehkan penerbit universiti di Indonesia menterjemah dan membukukan penerbitan jurnal.

Penyertaan wakil-wakil dari universiti tempatan Malaysia ke Jakarta pada kali ini adalah memberangsangkan, malah dianggap sebagai penyertaan terbesar.

Antara penerbit universiti yang menghantar wakil adalah Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Malaysia (UIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Cuma apa yang agak mengecewakan, untuk Pesta Buku Indonesia kali ini, tiada wakil yang dihantar oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), badan yang menggabungkan penerbit-penerbit ilmiah dan universiti dari Malaysia.

MAPIM selalunya aktif dalam penyertaan ke pesta-pesta buku antarabangsa.

Buku-buku teks sekolah di Indonesia juga tergolong dalam kategori laku keras. Prestasi penjualan tahunan sebanyak 60%-80% adalah tertinggi dalam kalangan genre buku yang dipasarkan.

Ebook Masih Banyak Ruang

Pertumbuhan pengguna internet Indonesia juga telah memangkinkan penerbitan karya-karya digital atau ebook. Majoriti penerbit memilih format PDF dan EPUB sebagai format digital.

Hampir satu pertiga daripada penerbit di Indonesia telah melangkah ke arah digital. Pun begitu, jumlah penjualan ebook buat masih ini masih lagi jauh, iaitu hanya 2% berbanding jualan keseluruhan.

Antara pemain-pemain industri yang kini mempelopori dunia ebook di Indonesia adalah Gramedia (Gramediana), Rosdakarya (eRosda), Mizan (Lumos), Penerbit Institut Teknologi Bandung (ITB), dan Unsri Press.

Manakala beberapa syarikat Indonesia juga telah melancarkan platform penjualan ebook termasuklah Bookmate, Scoop, Aksara Maya dan Buqu Indonesia.  

Diramal Kuasa Besar Ekonomi Dunia

Apa yang menarik, Indonesia diramalkan, dalam masa kurang 15 tahun, bakal menjadi salah satu kuasa ekonomi terbesar di dunia. PriceWaterhouseCoopers mengunjurkan bahawa pada tahun 2030, Indonesia akan menjadi kuasa ekonomi kelima paling besar selepas China, Amerika Syarikat, India dan Jepun.

Imej: http://invest-islands.com

Banyak industri, termasuklah perbukuan, akan mendapat limpahan manfaat apabila ramalan ini menjadi realiti kelak, sebagaimana kini yang dikecapi oleh China, di mana penerbit seluruh dunia hari ini berlumba-lumba untuk mencari tapak di sana.

Kesungguhan Indonesia untuk terus memartabatkan industri perbukuan terpamer setelah dinobatkan sebagai Guest of Honour dalam Pesta Buku Frankfurt edisi 2015.

Pemilihan ini mencetuskan satu anjakan baru kepada Indonesia untuk menjadikan Pesta Buku Indonesia 2017, iaitu pesta buku ke-35, sebagai pemangkin yang akan terus melonjakkan industri perbukuan dan penerbitan rantau ini.