Apakah Masa Depan Audiobook Malaysia?

Apa cerita Audiobook Malaysia?

Audiobook (atau “buku bercakap.” Adoi.) adalah penerbitan berbentuk audio untuk didengari melalui perantaraan seperti komputer, peranti mudah alih, kenderaan dan sebagainya.

Audiobook dibacakan oleh narrator, sama ada pengkarya itu sendiri atau orang lain. Sesetengah audiobook juga datang dengan muzik latar. Contohnya, siri audiobook X-Files datang dengan original soundtrack yang dikenali ramai.

Audiobook Malaysia

Audiobook vs. Podcast

Anda juga mungkin pernah dengar tentang podcast.

Apakah podcast? Apa beza dengan audiobook?

Kedua-dua podcast dan audiobook adalah fail audio digital. Bezanya, podcast diberi secara berkala (atau berepisod), yang mana audio podcast akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Banyak podcast diberi akses secara percuma. Contohnya, stesen radio BFM memberikan podcast kepada pendengar mereka menerusi pautan ini.

Audiobook lebih bersifat komersial. Penerbitan audiobook melibatkan perjanjian penerbitan dengan pengkarya. Jadi ada hal hak cipta yang perlu dijaga. Audiobook yang dijual akan dilindungi oleh encryption (dalam penerbitan lebih dikenali sebagai digital rights management atau DRM) supaya tidak berlaku kecurian intelek. 

Fail audiobook juga selalunya lebih besar kerana kontennya lebih banyak dan komprehensif.

Pasaran Audiobook Malaysia

Di Amerika, pasaran audiobook sangat luas. Ada lebih 60 juta pengguna audiobook sekarang, dan kadar pertumbuhan adalah pada kadar 20-22% setahun.

Di Malaysia, boleh dikatakan masih belum ada data yang kredibel tentang pasaran audiobook di sini.

Pun begitu, beberapa otai industri seperti Hasri Hassan (kini Pengurus Kanan di Perbadanan Kota Buku) memberikan komen positif terhadap prospek audiobook.

Malah, di sini sudah ada pemain industri yang berkecimpung dalam penghasilan dan  pemasaran audiobook. Contohnya, syarikat TLiNGE yang diusahakan oleh bekas artis nasyid kumpulan Saujana, Zuhaidi Aziz bersama rakan niaganya.

Audiobook Malaysia - TLiNGE

Bagus nama TLiNGE ini. Catchy dan kena dengan produknya.

Buat masa ini, TLiNGE bekerjasama dengan beberapa penerbit tempatan termasuklah DBP, ITBM, DuBook Press dan Legacy Publishing. Malah, TLiNGE sendiri juga telah mula menerbitkan audiobook original.

Audiobook Malaysia - judul TLiNGE
Antara judul audiobook yang ditawarkan TLiNGE.

TLiNGE menawarkan pakej langganan bersifat “buffet,” yang mana pengguna membayar yuran bulanan dan akan mendapat akses kepada pakej yang dipilih. Buat masa ini, TLiNGE menawarkan pakej promosi pada harga RM10 sebulan. Mahal atau murah?

Nak Cuba Audiobook?

Untuk yang masih baru dalam audiobook, ada beberapa kaedah untuk mencuba dan mendapat “feel” sama ada audiobook adalah untuk anda atau tidak.

Untuk setiap judul, TLiNGE membolehkan anda mendengar contoh audio selama kira-kira satu minit. Anda boleh cuba saranan ini.

Audible, sebuah syarikat milik Amazon, memberikan akses percuma selama sebulan (beserta 1 kredit pembelian) jika anda mendaftar sebagai ahli (perlu register kad kredit/debit). Audiobook yang dimuat turun boleh didengar menerusi peranti pelbagai model dan sistem operasi (Windows, Android, Mac, iOS).

Audiobook Malaysia - Audible

Selain itu, anda juga boleh memuat turun audiobook percuma dari Project Gutenberg. Ini adalah projek besar untuk mendigitalkan koleksi-koleksi karya lama yang tiada atau sudah tamat tempoh hak cipta.  

Audiobook Malaysia - Project Gutenberg

Alternatif platform audiobook lain yang boleh dicuba adalah DigitalBook.io, Scribl, Lit2Go dan Loyal Books.

Audiobook Malaysia - Digital Book.IO

Masa Depan Audiobook Malaysia?

Sama halnya dengan ebook beberapa tahun lalu, audiobook sebenarnya masih baru bertapak di Malaysia, didokong oleh generasi pemula yang baru mengorak langkah.

Perjalanan untuk audiobook menjadi suatu sub-industri yang besar dan berjaya masih lagi jauh dan berliku. Tahap penerimaan audiobook di Malaysia juga tidak akan menjadi laju seperti yang berlaku di negara-negara maju.

Selain audibook, Malaysia juga masih ketinggalan dalam tahap penglibatan masyarakat dalam pembacaan buku itu sendiri. Banyak masa, tenaga dan usaha diperlukan untuk memajukan lagi industri buku dan audiobook Malaysia.

Persoalan sama ada masa depan audiobook cerah atau sebaliknya masih lagi terlalu awal dikatakan. Mungkin kita boleh tahu jawapannya dalam beberapa tahun yang akan datang. 

Rasional dikatakan bahawa audiobook bersifat “disruptive,” dan jika didokong dan diterima pengguna, boleh membantu melonjakkan dan memperkayakan dunia penerbitan yang kelihatan agak lesu pada masa ini.

Leave a comment