Bagaimana Nelson Mandela Menulis Autobiografi di Penjara, Menyeludup Keluar dan Akhirnya Menerbitkannya?

Nelson Mandela dan Anti-Apartheid

Nelson Mandela ialah antara pejuang kemanusiaan yang paling dihormati.

Mandela dikenali dengan gerakan yang akhirnya menguburkan Apartheid, sebuah dasar yang mendiskriminasikan antara bangsa kulit putih dengan hitam di Afrika Selatan.

Nelson Mandela & George Bush
Nelson Mandela dan George W. Bush. Source: Public domain

Meskipun berjaya akhirnya, Mandela terpaksa membayar perjuangannya dengan harga yang mahal.

Penglibatan dan pengaruh besarnya dalam African National Congress yang memperjuangkan kesamaan hak menyebabkannya menjadi buruan kerajaan. Dia terpaksa menyamar dan berpindah randah.

Pertemuan dengan isteri dan anak-anaknya terpaksa dilakukan secara penuh kerahsiaan.

Bisnes guamannya yang terkenal juga hampir lingkup.

Ada rakan-rakannya yang dipenjarakan dan diseksa sehingga mati. Ramai orang awam yang ditembak mati sewaktu mengadakan perhimpunan dalam kempen anti-Apartheid.

Setelah lama dalam buruan, Nelson Mandela akhirnya ditangkap setelah dikhianati orang kepercayaannya sendiri.

Dasar Apartheid

Apartheid bermula setelah Great Britain memberikan kemerdekaan kepada Afrika Selatan.

Namun, kemerdekaan ini sebenarnya tidak memihak kepada penduduk pribumi Afrika Selatan, tetapi imigran atau pendatang (settlers) dari Eropah, terutamanya Belanda, Jerman dan Perancis yang membentuk kerajaan yang didominasi kaum kulit putih.

Menerusi Apartheid, rakyat berkulit hitam, meskipun adalah penduduk asal, tidak boleh memiliki tanah. Mereka juga perlu membawa kad ID sepanjang masa.

Selain itu, mereka juga boleh ditangkap dan ditahan tanpa sebab.

Nelson Mandela struggle
Antara peraturan dalam dasar Apartheid. Source: Public domain

Dalam pekerjaan, untuk jawatan yang sama, mereka yang berkulit hitam diberi gaji yang berlainan. Yang membuka bisnes pula tidak boleh ada kedai di bandar, tetapi sekadar di pinggir pekan.

Sebarang penerbitan artikel akhbar yang mempertikaikan dasar Apartheid akan disabitkan dengan kesalahan, sehingga ada majalah dan akhbar yang menerbitkan “muka surat kosong” sebagai tanda protes.

Maximum Security Prison

Disabitkan dengan konspirasi menjatuhkan kerajaan Afrika Selatan, Nelson Mandela dipenjarakan selama 27 tahun bermula pada 1964 (hukuman asalnya adalah penjara seumur hidup, tetapi akhirnya dia dibebaskan atas tekanan politik).

Mandela dihumban ke dalam penjara bersekuriti maksimum di sebuah pulau yang dinamakan Robben Island. Tidak ada kapal yang dibenarkan lalu dalam perimeter 1 km nautika.

Untuk lari dari penjara ini adalah satu kemustahilan.

Kawasan kuari di Robben Island, tempat banduan bekerja. Source: Rüdiger Wölk (CC-BY)

Sel penjara Nelson Mandela berukuran 7×7 kaki. Biliknya dibekalkan dengan pencahayaan mentol 40 Watt. Ada segulung tikar dan selimut.

Di dalam penjara, tidak ada berita yang boleh dibawa masuk, sama ada dalam bentuk berita TV, radio, akhbar dan penerbitan lain-lain.

Banduan boleh menerima surat daripada keluarga (terhad kepada 500 patah perkataan, dan hanya surat berkaitan hal keluarga dan peribadi, tidak boleh ada politik), tetapi tidak boleh menulis.

Mula Menulis

Setelah sedekad di dalam penjara, Mandela mengambil keputusan untuk mula menulis autobiografinya.

Meskipun dipenjarakan, di luar sana, dia masih lagi berstatus “legend.” Jadi dia mengharapkan penulisannya akan menyemarakkan lagi semangat anti-Apartheid, terutamanya golongan muda.

Tetapi, peraturan penjara yang tidak membenarkan banduan menulis menjadi satu masalah.

Jadi Mandela menulis secara rahsia.

Dia menulis pada waktu malam, dan sewaktu semua orang nyenyak tidur.

Manuskrip (Nelson Mandela)
Gambar sekadar hiasan

Kertas dan penanya diseludup dengan bantuan pelawat, yang dibenarkan datang dua kali sebulan (maksimum 20 minit setiap lawatan).

Mandela menulis meskipun dengan pencahayaan yang sangat terhad. Malah dia tetap akan menulis setiap hari meskipun tiada langsung pencahayaan.

Berkat konsistensi menulis, dalam masa empat bulan, Nelson Mandela melengkapkan manuskripnya yang berjumlah 500 muka surat.

Khuatir ditemui pegawai penjara, manuskrip ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Setiap bahagian dibungkus dengan plastik dan dimasukkan ke dalam tin, dan ditanam di tiga tempat berasingan di sekitar kawasan penjara.

Untuk mengelakkan daripada disyaki, Mandela tidak berbuat apa-apa selama setahun, sambil memikirkan cara untuk menyeludup keluar penulisannya.

Setahun kemudiannya, barulah manuskripnya berjaya diseludup keluar.

Selama beberapa lama, tiada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada manuskrip ini.

Pembebasan dan Penerbitan

Setelah desakan demi desakan dalaman dan antarabangsa, akhirnya kerajaan Afrika Selatan akur dengan tekanan.

Tanggal 11 Februari 1990, Nelson Mandela dibebaskan. Beliau berumur 71 tahun.

Empat tahun kemudiannya, Mandela memimpin African National Congress di dalam pilihan raya dan mencatat kemenangan besar.

Nelson Mandela sebagai presiden

Pada umur 75 tahun, dia dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan.

Setelah diisytihar sebagai Presiden, manuskrip yang diseludup keluar dari penjara di Robben Island itu muncul kembali.

Manuskrip ini akhirnya diterbitkan sebagai autobiografi rasmi Nelson Mandela, dengan judul Long Walk to Freedom.

Nelson Mandela - Long Walk to Freedom

Selain daripada Nelson Mandela, laman web ini memaparkan banyak lagi kisah menarik. Lawati laman web utama untuk terus membaca. 

Leave a comment