Dan Pemenang Anugerah CREAM 2017 Adalah …

Jurnal-jurnal pemenang Anugerah CREAM 2017 telahpun diumumkan pada majlis penganugerahan yang berlangsung pada 5 Oktober 2017 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Kuala Lumpur yang disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dato’ Seri Idris Jusoh. Foto: Pusat Sitasi Malaysia.

Apakah Anugerah CREAM?

Anugerah Current Research in Malaysia (CREAM) adalah pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada jurnal-jurnal akademik yang diterbitkan oleh penerbit ilmiah tempatan dan telah menunjukkan prestasi tinggi berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Pusat Sitasi Malaysia.

Anugerah CREAM bermula pada tahun 2015 dan ini adalah tahun ketiga penganugerahan.

Pusat Sitasi Malaysia adalah badan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang ditubuhkan dengan tujuan untuk memusatkan maklumat berkenaan dengan penerbitan jurnal di Malaysia, sebagai satu badan untuk mengukur dan memantau prestasi dan membantu meningkatkan mutu penerbitan jurnal.

Untuk tujuan pengukuran dan pemantauan ini, laman MyJurnal dan MyCite telah dibangunkan oleh Pusat Sitasi Malaysia sebagai platform pengumpulan data dan maklumat penerbitan ilmiah.

Pemenang Anugerah CREAM dinilai oleh panel penasihat yang telah dilantik oleh Pusat Sitasi Malaysia. Manakala data-data dibekalkan oleh pangkalan data Web of Science dan Scopus. Web of Science dimiliki oleh Clarivate Analytics dan Scopus pula oleh Elsevier.

Foto: Pusat Sitasi Malaysia

Sejumlah 18 jurnal akademik telah terpilih untuk Anugerah CREAM 2017. Anugerah kali ini dibahagikan kepada 3 kategori: 1. Kategori Web of Science; 2. Kategori Scopus (Prestasi Tinggi); dan 3. Kategori Scopus (Jurnal Berpotensi).

Foto: Pusat Sitasi Malaysia

Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia muncul dua universiti yang menghasilkan penerima terbanyak anugerah tahun ini, masing-masing dengan 5 jurnal.

Senarai pemenang Anugerah CREAM 2017 adalah seperti berikut:

  1. Malaysian Journal of Library & Information System (Universiti Malaya)
  2. Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society (Universiti Sains Malaysia)
  3. Malaysian Journal of Computer Sciences (Universiti Malaya)
  4. Journal of Engineering Sciences and Technology (Taylor’s University)
  5. International Journal of Mechanical and Material Engineering (Universiti Malaya)
  6. Malaysian Journal of Mathematical Sciences (Universiti Putra Malaysia)
  7. Journal of Information & Communication Technology (Universiti Utara Malaysia)
  8. International Journal of Business & Society (Universiti Malaysia Sarawak)
  9. Journal of Physical Science (Universiti Sains Malaysia)
  10. Tropical Life Sciences Research (Universiti Sains Malaysia)
  11. GEMA Online Journal of Language Studies (Universiti Kebangsaan Malaysia)
  12. 3L: Language, Linguistic, Literature (Universiti Kebangsaan Malaysia)
  13. Journal of Construction in Developing Countries (Universiti Sains Malaysia)
  14. Malaysian Journal of Learning and Instrcution (Universiti Utara Malaysia)
  15. Malaysian Journal of Economic Studies (Universiti Malaya)
  16. Journal of the University of Malaya Medial Centre (Universiti Malaya)
  17. KEMANUSIAAN The Asian Journal of Humanities (Universiti Sains Malaysia)
  18. Asian Myrmecology (Universiti Malaysia Sabah)

Pesta Buku Frankfurt 2017

Pesta Buku Frankfurt 2017 (Frankfurt Book Fair 2017) akan berlangsung pada 11-15 Oktober 2017 bertempat di Messe Frankfurt (Pusat Dagang Frankfurt), Jerman.

Pesta Buku Frankfurt adalah pesta dagang terbesar bidang bidang penerbitan, diukur daripada sudut penyertaan dan jumlah pengunjung. Acara ini mengumpulkan lebih 7,000 pempamer dari lebih 100 negara, dan dilawati lebih suku juta pelawat sepanjang pesta.

Setiap tahun, pesta buku utama ini diadakan pada bulan Oktober dan berlangsung selama lima hari.

Berbeza dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pesta Buku Frankfurt adalah lebih kepada acara menemukan pelawat dagang (trade visitors, iaitu untuk tujuan bisnes), terutamanya tiga hari yang pertama.

Foto: publishingperspectives.com

Orang ramai boleh hadir pada dua hari terakhir (kebiasaannya hujung minggu), dan perlu membayar yuran masuk.

Selain daripada terbesar, Pesta Buku Frankfurt juga antara pesta buku yang tertua di dunia, dan telah berlangsung lebih 500 tahun bermula pada kurun ke-15 lagi. Awalnya bermula sebagai sebuah acara menjual beli manuskrip, pesta buku ini terus berkembang setiap tahun sehingga kini menjadi acara kemestian buat penerbit dan penyedia konten.

Industri perbukuan dan penerbitan menganggap Pesta Buku Frankfurt sebagai acara terpenting dalam kalendar bisnes mereka, terutamanya mereka yang agresif dalam pelan pengantarabangsaan dan pengembangan.

Kenapa?

Pertamanya, banyak rundingan penting berlaku di Pesta Buku Frankfurt yang melibatkan hal-hal penerbitan seperti: matchmaking antara pengkarya dan penerbit berpotensi; hak cipta (rights) seperti terjemahan, terbitan ke layar perak, dsb.; perlesenan (seperti konten dan merchandising); rundingan penerbitan bersama (co-publishing) dan lain-lain.

Selain itu, ramai penerbit menjadikan Pesta Buku Frankfurt sebagai platform promosi dan publisiti. Banyak pelancaran buku diadakan di sini dengan harapan publisiti meluas akan membawa pulangan kepada penerbitan. Ada yang berharap aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan akan “tertangkap” di media massa antarabangsa.   

Malaysia juga telah lama menyertai Pesta Buku Frankfurt ini. Delegasi Malaysia diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), yang membawa pengkarya serta penerbit komersial dan akademik.

Reruai Malaysia. Foto: peopleinpublishing.com

Setakat ini, reaksi penyertaan Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt agak bercampur aduk. Walaupun rutinnya maklum balas penyertaan Malaysia dilihat memuaskan, ada juga beberapa kontroversi yang terpalit.

Contohnya, pada tahun 2014, delegasi Malaysia dituduh “mencuri” tarian kebudayaan Indonesia oleh media massa di Indonesia.

Sementara pada tahun 2016, MalaysiaKini menerbitkan tulisan seorang penerbit indie yang nyata tidak selesa dengan delegasi Malaysia yang “main masak-masak” di sebuah pesta buku yang amat penting.

Dalam dunia bisnes, Messe Frankfurt dikenali antara lokasi pesta dagang yang paling berjaya dalam dunia dengan penganjuran pameran dan pesta-pesta terbesar yang menarik peserta dan pengunjung global.

Antara lain, Messe Frankfurt adalah pakar dalam penganjuran acara dalam bidang teknologi, logistik, penerbitan, tekstile, automotif, hiburan, media dan industri kreatif.

Setiap tahun, Pesta Buku Frankfurt melantik akan sebuah (atau beberapa) negara sebagai negara tetamu kehormat (Guest of Honor).

Dua tahun lalu (2015), Indonesia menjadi tetamu kehormat di acara ini.

Reruai Indonesia 2016. Foto: republika.co.id

Untuk edisi Pesta Buku Frankfurt 2017, tetamu kehormat acara ini adalah jiran sebelah Jerman, iaitu Perancis.

Bagaimana Nelson Mandela Menulis Autobiografi di Penjara, Menyeludup Keluar dan Akhirnya Menerbitkannya?

Nelson Mandela dan Anti-Apartheid

Nelson Mandela ialah antara pejuang kemanusiaan yang paling dihormati.

Mandela dikenali dengan gerakan yang akhirnya menguburkan Apartheid, sebuah dasar yang mendiskriminasikan antara bangsa kulit putih dengan hitam di Afrika Selatan.

Nelson Mandela dan George W. Bush. Source: Public domain

Meskipun berjaya akhirnya, Mandela terpaksa membayar perjuangannya dengan harga yang mahal.

Penglibatan dan pengaruh besarnya dalam African National Congress yang memperjuangkan kesamaan hak menyebabkannya menjadi buruan kerajaan. Dia terpaksa menyamar dan berpindah randah.

Pertemuan dengan isteri dan anak-anaknya terpaksa dilakukan secara penuh kerahsiaan.

Bisnes guamannya yang terkenal juga hampir lingkup.

Ada rakan-rakannya yang dipenjarakan dan diseksa sehingga mati. Ramai orang awam yang ditembak mati sewaktu mengadakan perhimpunan dalam kempen anti-Apartheid.

Setelah lama dalam buruan, Nelson Mandela akhirnya ditangkap setelah dikhianati orang kepercayaannya sendiri.

Dasar Apartheid

Apartheid bermula setelah Great Britain memberikan kemerdekaan kepada Afrika Selatan.

Namun, kemerdekaan ini sebenarnya tidak memihak kepada penduduk pribumi Afrika Selatan, tetapi imigran atau pendatang (settlers) dari Eropah, terutamanya Belanda, Jerman dan Perancis yang membentuk kerajaan yang didominasi kaum kulit putih.

Menerusi Apartheid, rakyat berkulit hitam, meskipun adalah penduduk asal, tidak boleh memiliki tanah. Mereka juga perlu membawa kad ID sepanjang masa. Selain itu, mereka juga boleh ditangkap dan ditahan tanpa sebab.

Antara peraturan dalam dasar Apartheid. Source: Public domain

Dalam pekerjaan, untuk jawatan yang sama, mereka yang berkulit hitam diberi gaji yang berlainan. Yang membuka bisnes pula tidak boleh ada kedai di bandar, tetapi sekadar di pinggir pekan.

Sebarang penerbitan artikel akhbar yang mempertikaikan dasar Apartheid akan disabitkan dengan kesalahan, sehingga ada majalah dan akhbar yang menerbitkan “muka surat kosong” sebagai tanda protes.

Maximum Security Prison

Disabitkan dengan konspirasi menjatuhkan kerajaan Afrika Selatan, Nelson Mandela dipenjarakan selama 27 tahun bermula pada 1964 (hukuman asalnya adalah penjara seumur hidup, tetapi akhirnya dia dibebaskan atas tekanan politik).

Mandela dihumban ke dalam penjara bersekuriti maksimum di sebuah pulau yang dinamakan Robben Island. Tidak ada kapal yang dibenarkan lalu dalam perimeter 1 km nautika. Untuk lari dari penjara ini adalah satu kemustahilan.

Kawasan kuari di Robben Island, tempat banduan bekerja. Source: Rüdiger Wölk (CC-BY)

Sel penjaranya berukuran 7×7 kaki. Biliknya dibekalkan dengan pencahayaan mentol 40 Watt. Ada segulung tikar dan selimut.

Di dalam penjara, tidak ada berita yang boleh dibawa masuk, sama ada dalam bentuk berita TV, radio, akhbar dan penerbitan lain-lain.

Banduan boleh menerima surat daripada keluarga (terhad kepada 500 patah perkataan, dan hanya surat berkaitan hal keluarga dan peribadi, tidak boleh ada politik), tetapi tidak boleh menulis.

Mula Menulis

Setelah sedekad di dalam penjara, Mandela mengambil keputusan untuk mula menulis autobiografinya.

Meskipun dipenjarakan, di luar sana, dia masih lagi berstatus “legend.” Jadi dia mengharapkan penulisannya akan menyemarakkan lagi semangat anti-Apartheid, terutamanya golongan muda.

Tetapi, peraturan penjara yang tidak membenarkan banduan menulis menjadi satu masalah.

Jadi Mandela menulis secara rahsia.

Dia menulis pada waktu malam, dan sewaktu semua orang nyenyak tidur.

Gambar sekadar hiasan

Kertas dan penanya diseludup dengan bantuan pelawat, yang dibenarkan datang dua kali sebulan (maksimum 20 minit setiap lawatan).

Mandela menulis meskipun dengan pencahayaan yang sangat terhad. Malah dia tetap akan menulis setiap hari meskipun tiada langsung pencahayaan.

Berkat konsistensi menulis, dalam masa empat bulan, Mandela melengkapkan manuskripnya yang berjumlah 500 muka surat.

Khuatir ditemui pegawai penjara, manuskrip ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Setiap bahagian dibungkus dengan plastik dan dimasukkan ke dalam tin, dan ditanam di tiga tempat berasingan di sekitar kawasan penjara.

Untuk mengelakkan daripada disyaki, Mandela tidak berbuat apa-apa selama setahun, sambil memikirkan cara untuk menyeludup keluar penulisannya.

Setahun kemudiannya, barulah manuskripnya berjaya diseludup keluar.

Selama beberapa lama, tiada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada manuskrip ini.

Pembebasan dan Penerbitan

Setelah desakan demi desakan dalaman dan antarabangsa, akhirnya kerajaan Afrika Selatan akur dengan tekanan.

Tanggal 11 Februari 1990, Nelson Mandela dibebaskan. Beliau berumur 71 tahun.

Empat tahun kemudiannya, Mandela memimpin African National Congress di dalam pilihan raya dan mencatat kemenangan besar.

Pada umur 75 tahun, dia dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan.

Setelah diisytihar sebagai Presiden, manuskrip yang diseludup keluar dari penjara di Robben Island itu muncul kembali.

Manuskrip ini akhirnya diterbitkan sebagai autobiografi rasmi Nelson Mandela, dengan judul Long Walk to Freedom.

Pesta Buku Indonesia 2017: Apakah Kepentingannya Kepada Industri Penerbitan Malaysia?

Dua hari lagi, Pesta Buku Indonesia 2017 atau Indonesia International Book Fair 2017 (IIBF 2017) akan bermula.

Berlangsung di Jakarta Convention Center, Pesta buku ini akan diadakan selama 5 hari, bermula pada 6 September dan berakhir pada 10 September 2017.

Jakarta Convention Center (foto: retailnews.asia)

Pesta Buku Indonesia dianjurkan oleh Ikatan Penerbit Indonesia (IKAPI), sebuah persatuan besar yang menghimpunkan penerbit-penerbit tempatan di Indonesia.

IKAPI yang bermula lebih 60 tahun lalu dengan hanya 13 penerbit kini dikuatkan dengan keanggotaan lebih daripada 1,300 penerbit, dengan hampir separuh daripada mereka berpusat di Jakarta. Menurut IKAPI, hampir 800 daripada jumlah 1,300 ini adalah penerbit aktif.    

Bermula tahun 2014, Pesta Buku Indonesia mula melantik negara Guest of Honours, bermula dengan Arab Saudi dan kemudiannya Korea Selatan.

Malaysia dipilih menjadi Guest of Honours pada tahun lepas.

Pavilion Malaysia 2016 (foto:indonesia-bookfair.com/)

Pada masa ini, wakil-wakil penerbit dari Malaysia sudah mula berkumpul atau dalam perjalanan ke Jakarta. Delegasi Malaysia diketuai oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB).

Banyak rancangan telah diatur oleh ITBM, PKB dan wakil-wakil dari Malaysia. Antaranya adalah pelancaran buku oleh beberapa penerbit, ulasan dan dialog, perjumpaan antara wakil penerbit, bicara buku, dan persembahan.

Buku Datuk Vida, terbitan ITBM juga akan dilancarkan di pesta buku ini.

Apa pentingya Pesta Buku Indonesia 2017 yang mungkin menarik atau membantu industri perbukuan dan penerbitan di Malaysia?

Pasaran Pembeli Terbesar Hak Cipta di Asia Tenggara

Menurut laporan penganjur Frankfurt Book Fair, dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara, Indonesia buat masa ini adalah pasaran terbesar untuk pembelian hak cipta.

Buat masa ini, Indonesia melahirkan lebih 30,000 judul baru setahun. Malaysia pula menghasilkan kira-kira 16,000-18,000 judul baru setahun.

Sekali imbas, nampak seperti Indonesia hampir dua kali ganda lebih baik daripada Malaysia.

Namun begitu, mengikut UNESCO, populasi negara perlu dikira dalam menisbahkan terbitan baru. UNESCO mensyaratkan bahawa, untuk sesebuah negara kekal berdaya maju, nilai judul terbitan baru berbanding populasi harus mencecah 0.1%.

Populasi Indonesia adalah 260 juta. Bermakna nisbah judul baru:populasi adalah hanya 0.01%. Ini menunjukkan bahawa Indonesia perlu berusaha bersungguh sungguh untuk meningkatkan produktiviti penerbitan, dan perolehan hak cipta menjadi salah satu agenda utama.

Sementara Malaysia, dengan populasi 31 juta, merekodkan nisbah 0.06%. Belum mencapai tahap, tetapi sedikit lebih baik.

Genre Permintaan Tinggi

Genre penerbitan yang dalam permintaan tertinggi di Indonesia adalah buku kanak-kanak, fiksyen dan sastera, agama, dan buku teks institusi pengajian. Menurut laporan oleh Frankfurt Book Fair, pasaran buku keagamaan (Islam) adalah kira-kira 30%.

Unjuran laporan Frankfurt Book Fair juga menunjukkan bahawa Indonesia mempunyai jumlah saiz pasaran berjumlah lebih RM300 juta, dengan peningkatan tahunan sebanyak 6%.

Potensi Pasaran Akademik

Indonesia memandang tinggi penerbitan ilmiah di Malaysia dan seringkali menjadikan penerbit-penerbit universiti di Malaysia sebagai penanda aras penerbitan di sana. Beberapa universiti awam di Malaysia juga telah didekati untuk membolehkan penerbit universiti di Indonesia menterjemah dan membukukan penerbitan jurnal.

Penyertaan wakil-wakil dari universiti tempatan Malaysia ke Jakarta pada kali ini adalah memberangsangkan, malah dianggap sebagai penyertaan terbesar.

Antara penerbit universiti yang menghantar wakil adalah Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Islam Malaysia (UIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Cuma apa yang agak mengecewakan, untuk Pesta Buku Indonesia kali ini, tiada wakil yang dihantar oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), badan yang menggabungkan penerbit-penerbit ilmiah dan universiti dari Malaysia.

MAPIM selalunya aktif dalam penyertaan ke pesta-pesta buku antarabangsa.

Buku-buku teks sekolah di Indonesia juga tergolong dalam kategori laku keras. Prestasi penjualan tahunan sebanyak 60%-80% adalah tertinggi dalam kalangan genre buku yang dipasarkan.

Ebook Masih Banyak Ruang

Pertumbuhan pengguna internet Indonesia juga telah memangkinkan penerbitan karya-karya digital atau ebook. Majoriti penerbit memilih format PDF dan EPUB sebagai format digital.

Hampir satu pertiga daripada penerbit di Indonesia telah melangkah ke arah digital. Pun begitu, jumlah penjualan ebook buat masih ini masih lagi jauh, iaitu hanya 2% berbanding jualan keseluruhan.

Antara pemain-pemain industri yang kini mempelopori dunia ebook di Indonesia adalah Gramedia (Gramediana), Rosdakarya (eRosda), Mizan (Lumos), Penerbit Institut Teknologi Bandung (ITB), dan Unsri Press.

Manakala beberapa syarikat Indonesia juga telah melancarkan platform penjualan ebook termasuklah Bookmate, Scoop, Aksara Maya dan Buqu Indonesia.  

Diramal Kuasa Besar Ekonomi Dunia

Apa yang menarik, Indonesia diramalkan, dalam masa kurang 15 tahun, bakal menjadi salah satu kuasa ekonomi terbesar di dunia. PriceWaterhouseCoopers mengunjurkan bahawa pada tahun 2030, Indonesia akan menjadi kuasa ekonomi kelima paling besar selepas China, Amerika Syarikat, India dan Jepun.

Imej: http://invest-islands.com

Banyak industri, termasuklah perbukuan, akan mendapat limpahan manfaat apabila ramalan ini menjadi realiti kelak, sebagaimana kini yang dikecapi oleh China, di mana penerbit seluruh dunia hari ini berlumba-lumba untuk mencari tapak di sana.

Kesungguhan Indonesia untuk terus memartabatkan industri perbukuan terpamer setelah dinobatkan sebagai Guest of Honour dalam Pesta Buku Frankfurt edisi 2015.

Pemilihan ini mencetuskan satu anjakan baru kepada Indonesia untuk menjadikan Pesta Buku Indonesia 2017, iaitu pesta buku ke-35, sebagai pemangkin yang akan terus melonjakkan industri perbukuan dan penerbitan rantau ini.  

MyCyberSale 2017, 9-13 October 2017

Ready for MyCyberSale 2017?

MyCyberSale 2017, the fourth event in the mega cyber sale series will be coming up in Malaysia soon. This year, the  event, dubbed as the country’s biggest online sale, will be held between 9 and 13 October 2017.  

With the inaugural event held successfully in 2014, the MyCyberSale has entered its fourth year now.

MyCyberSale is organised by the Multimedia Development Corporation (MDEC). This time around, MDEC will be collaborating with the Persatuan Industri Komputer & Multimedia (PIKOM) in effort to launch a major nationwide campaign.

The aim?

To generate RM300 million of sales in the 5-day event.

MyCyberSale is an effort driven by the Digital Malaysia initiative with goals to grow the e-commerce industry, and boost online shopping confidence among Malaysians.

During MyCyberSale, What Will be on Sale?

A lot of stuff.

These include books, travel services, fashion items, clothing, gadget and electronic devices, gifts, home appliances, wellness products, sports equipment, baby products and many more.

Closing Date for e-Tailer Registration

Tomorrow, 31 August, Malaysia’s Merdeka Day, will be the last day of e-tailer registration.

e-tailer registration is free. Sellers wishing to be the e-tailers in this MyCyberSale 2017 are required to have a registered company (with the Suruhanjaya Syarikat Malaysia or SSM), own or operate e-commerce or online marketplace, and must be willing to give out “crazy” deal to buyers.

Last year, the MyCyberSale 2016 was a smashing success, generating RM211 million in sales, surpassing the target of RM200 million.   

Pesta Buku Borneo 2017, 11-15 Oktober, Kuching, Sarawak

Pesta Buku Borneo 2017 akan berlangsung selama lima hari di Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak pada 11-15 Oktober 2017.

Plaza Merdeka (foto: sarawakdirectory.com)

Plaza Merdeka terletak tidak jauh dari Kuching Waterfront, kawasan tarikan pelancong yang popular di ibu kota Sarawak.

Kuching Waterfront (foto: sarawaktourism.com)

Antara penerbit yang bakal turut serta dalam pesta buku ini adalah Penerbit Universiti Malaysia Sarawak (juga penganjur), Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, MARDI, Universiti Malaysia Kelantan, DBP, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia, Fixi, dan lain-lain.

Antara program yang dirancang termasuklah jualan diskaun dan pukal, persembahan kebudayaan, fesyen, pertandingan pidato, promosi penajaan, serta penyediaan platform suai kenal dan networking.  

Bersempena Pesta Buku Borneo 2017 ini, acara besar lain yang dianjurkan adalah International Conference on Borneo Book Publishing.

Konferens ini akan diadakan selama tiga hari bermula 11 Oktober dan berakhir 13 Oktober. Tempatnya adalah di The Waterfront Hotel Kuching. 

Foto: thewaterfrontkuching.com

Dianjurkan bersama oleh Penerbit Universiti Malaysia Sarawak, Majlis Penerbit Ilmiah Malaysia (MAPIM), DBP Sarawak dan Universiti Malaysia Sabah, konferens ini dirancang dengan matlamat untuk menyediakan platform perkongsian antara penerbit dan pemain industri perbukuan dan ilmiah Malaysia.

Kebanyakan topik yang bakal dibincangkan akan menyentuh tentang bagaimana industri penerbitan dan perbukuan di Borneo boleh mendapat manfaat daripada perubahan global yang yang berlaku dalam industri.

Sarawak adalah negeri yang mempunyai paling kepelbagaian etnik, termasuklah Iban, Melayu, Cina, Kadazandusun, Melanau, Kelabit, Murut, Kedayan, dan lain-lain.

Pada tahun lepas, Pesta Buku Borneo 2016 diadakan di 1Borneo Hypermall, Sabah, anjuran Penerbit Universiti Malaysia Sabah dan Pejabat Pendidikan Negeri Sabah.

Anda Seorang Pereka Ilustrasi? Sertailah ASEAN Illustration Contest di ICCRF Thailand

Pada 6-9 Disember 2017, akan berlangsung pesta dagang International Children’s Content Rights Fair (ICCRF) yang akan diadakan di Chiang Mai, Thailand.  

Acara ini akan berlangsung di Chiang Mai International Exhibition and Convention Centre (CMECC), salah satu pusat konvensyen terbesar di Asia Tenggara dengan keluasan 60 ribu meter persegi.

Chiang Mai International Exhibition and Convention Centre (CMECC). Foto: CMECC
Foto: CMECC

ASEAN Illustration Contest

ASEAN Illustration Contest dianjurkan bersempena pesta dagang ini, dengan tujuan untuk mengenal pasti dan menghargai rekaan ilustrasi oleh pereka-pereka di Asia Tenggara.

Pertandingan ini terbuka kepada pereka ilustrasi (sama ada profesional, amateur atau yang baru berjinak dalam bidang ini) yang bekerja atau menetap di dalam salah satu antara 10 buah negara ASEAN.

Karya ilustrasi yang layak dipertandingkan adalah ilustrasi yang dihasilkan untuk buku kanak-kanak, produk video/audio, komik dan novel grafik, sama ada telah terbit atau tidak. Hasil kerja ini mesti dihasilkan dalam tempoh satu setengah tahun antara Januari 2016 dan Jun 2017.  

Illustrator boleh menyertai pertandingan secara terus dengan membuat penghantaran pencalonan karya mereka.

Selain pengkarya, penerbit juga boleh mewakili pereka ilustrasi mereka untuk masuk bertanding. Walaubagaimanapun, hanya pereka berkenaan sahaja yang akan menerima imbuhan kemenangan. Tiada hadiah untuk penerbit.

Maklumat lanjut dan syarat-syarat penyertaan di sini.  

ICCRF adalah inisiatif yang menyahut polisi kerajaan Thailand yang ingin meluaskan mempromosi dan meningkatkan kesedaran membaca. Thailand berhasrat untuk menjadi hub kepada perdagangan hak cipta, media penerbitan dan teknologi, serta inovasi dalam kalangan kanak-kanak.  

Apakah Masa Depan Audiobook di Malaysia?

Apakah Itu Audiobook?

Audiobook (atau “buku bercakap.” Adoi.) adalah penerbitan berbentuk audio untuk didengari melalui perantaraan seperti komputer, peranti mudah alih, kenderaan dan sebagainya.

Audiobook dibacakan oleh narrator, sama ada pengkarya itu sendiri atau orang lain. Sesetengah audiobook juga datang dengan muzik latar. Contohnya, siri audiobook X-Files datang dengan original soundtrack yang dikenali ramai.

Audiobook vs. Podcast

Anda juga mungkin pernah dengar tentang podcast.

Apakah podcast? Apa beza dengan audiobook?

Kedua-dua podcast dan audiobook adalah fail audio digital. Bezanya, podcast diberi secara berkala (atau berepisod), yang mana audio podcast akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Banyak podcast diberi akses secara percuma. Contohnya, stesen radio BFM memberikan podcast kepada pendengar mereka menerusi pautan ini.

Audiobook lebih bersifat komersial. Penerbitan audiobook melibatkan perjanjian penerbitan dengan pengkarya. Jadi ada hal hak cipta yang perlu dijaga. Audiobook yang dijual akan dilindungi oleh encryption (dalam penerbitan lebih dikenali sebagai digital rights management atau DRM) supaya tidak berlaku kecurian intelek. 

Fail audiobook juga selalunya lebih besar kerana kontennya lebih banyak dan komprehensif.

Pasaran Audiobook di Malaysia

Di Amerika, pasaran audiobook sangat luas. Ada lebih 60 juta pengguna audiobook sekarang, dan kadar pertumbuhan adalah pada kadar 20-22% setahun.

Di Malaysia, boleh dikatakan masih belum ada data yang kredibel tentang pasaran audiobook di sini.

Pun begitu, beberapa otai industri seperti Hasri Hassan (kini Pengurus Kanan di Perbadanan Kota Buku) memberikan komen positif terhadap prospek audiobook.

Malah, di sini sudah ada pemain industri yang berkecimpung dalam penghasilan dan  pemasaran audiobook. Contohnya, syarikat TLiNGE yang diusahakan oleh bekas artis nasyid kumpulan Saujana, Zuhaidi Aziz bersama rakan niaganya.

Bagus nama TLiNGE ini. Catchy dan kena dengan produknya.

Buat masa ini, TLiNGE bekerjasama dengan beberapa penerbit tempatan termasuklah DBP, ITBM, DuBook Press dan Legacy Publishing. Malah, TLiNGE sendiri juga telah mula menerbitkan audiobook original.

Antara judul audiobook yang ditawarkan TLiNGE.

TLiNGE menawarkan pakej langganan bersifat “buffet,” yang mana pengguna membayar yuran bulanan dan akan mendapat akses kepada pakej yang dipilih. Buat masa ini, TLiNGE menawarkan pakej promosi pada harga RM10 sebulan. Mahal atau murah?

Nak Cuba Audiobook?

Untuk yang masih baru dalam audiobook, ada beberapa kaedah untuk mencuba dan mendapat “feel” sama ada audiobook adalah untuk anda atau tidak.

Untuk setiap judul, TLiNGE membolehkan anda mendengar contoh audio selama kira-kira satu minit. Anda boleh cuba saranan ini.

Audible, sebuah syarikat milik Amazon, memberikan akses percuma selama sebulan (beserta 1 kredit pembelian) jika anda mendaftar sebagai ahli (perlu register kad kredit/debit). Audiobook yang dimuat turun boleh didengar menerusi peranti pelbagai model dan sistem operasi (Windows, Android, Mac, iOS).

Selain itu, anda juga boleh memuat turun audiobook percuma dari Project Gutenberg. Ini adalah projek besar untuk mendigitalkan koleksi-koleksi karya lama yang tiada atau sudah tamat tempoh hak cipta.  

Alternatif platform audiobook lain yang boleh dicuba adalah DigitalBook.io, Scribl, Lit2Go dan Loyal Books.

Masa Depan Audiobook?

Sama halnya dengan ebook beberapa tahun lalu, audiobook sebenarnya masih baru bertapak di Malaysia, didokong oleh generasi pemula yang baru bertapak.

Persoalan sama ada masa depan audiobook cerah atau sebaliknya masih lagi terlalu awal dikatakan. Rasional dikatakan bahawa audiobook bersifat “disruptive,” dan jika didokong dan diterima pengguna, boleh membantu melonjakkan dan memperkayakan dunia penerbitan yang kelihatan agak lesu pada masa ini.

3 Sebab Kenapa Manuskrip Ditolak Penerbit

Manuskrip ditolak penerbit adalah senario biasa dalam dunia penerbitan. Tidak kiralah apa yang nak diterbitkan: buku agama, novel, buku akademik, makalah jurnal dan lain-lain.   

Ada penerbit yang menolak sehingga 90% daripada manuskrip. Bunyi macam kejam, tetapi itulah hakikatnya.

Apa perasaan bila manuskrip ditolak?

Mestilah sedih. Kan.

Kenapa Manuskrip ditolak?

Ada sebabnya kenapa manuskrip ditolak. Dan sebab-sebabnya sangat relevan.

Berikut adalah 3 sebab kenapa manuskrip ditolak penerbit.

1. Bukan skop penerbitan

Sebelum hantar manuskrip, semak skop dan genre penerbitan penerbit itu. Jika penerbit menerbitkan novel, penulisan novel bagaimanakah yang diterima. Adakah semua bentuk novel termasuk cinta, seram dan sains fiksyen diterima? Adakah penerbit menerbitkan biografi?    

Kenal pasti bahasa konten yang diterbitkan penerbit. Misalnya, jika DBP tidak terbitkan karya Bahasa Inggeris, tak perlu lah hantar dan cuba ubah polisi. Nanti panjang pula cerita. Nak menunggu dah satu hal.  

Bila menghantar manuskrip untuk terbitan sebagai makalah jurnal, pastikan juga skopnya betul. Jika jurnal memfokuskan kepada geografi, jangan lah pulak nak hantar manuskrip keagamaan.

2. Tidak ikut panduan

Mungkin sesetengah syarikat menerbitkan novel cinta dan kasih sayang, tetapi mengenakan syarat-syarat dalam kandungannya. Contohnya, PTS Media yang mengamalkan prinsip patuh syariah tidak membenarkan adegan bercium dan berpegang tangan antara pasangan kekasih dalam buku. PTS juga hanya menerbitkan penulisan dalam Bahasa Melayu Tinggi.

Ambil tahu hal tersebut.

Begitu juga dengan penerbit akademik. Penulisan harus mengikut gaya, panduan dan format yang ditetapkan. Contohnya, jika format bibliografi penerbit adalah gaya Harvard tetapi penulis menggunakan gaya Chicago Manual of Style, tunggulah manuskrip itu dipulangkan semula.

Penerbit yang baik akan menyediakan panduan penulisan manuskrip di laman web. Kenal pasti syarat dan panduan penerbit yang menjadi prospek anda.

3. Penerbit tidak berkenan dengan kandungan

Ada manuskrip yang ditolak disebabkan oleh kandungan itu sendiri.

Contohnya, tahap Bahasa Inggeris tidak memuaskan.

Boleh jadi kandungan atau storyboard yang hampir sama pernah diterbitkan sebelum ini.

Mungkin juga penerbit merasakan pasaran untuk konten anda kurang “kick.”

Dunia akademik pula mengamalkan konsep pewasitan atau peer review, yang mana manuskrip berpotensi diberikan kepada mereka yang pakar dalam bidang kajian untuk dinilai. Penilaian yang kurang enak selalunya akan menjurus kepada penolakan.  

Apapun, manuskrip ditolak bukan kerana penerbit suka-suka. Malah, bila manuskrip ditolak, penerbit juga rugi. Mereka rugi sumber yang telah digunakan untuk menelaah manuskrip itu. Mereka juga rugi daripada segi potensi produk dan pendapatan. Yelah, produk dah tak boleh pakai.

 

Buku Perpustakaan Ini Dipulang Selepas 38 Tahun Overdue

Baru-baru ini, seorang lelaki tua misteri dengan selamba berjalan masuk ke Tompkins Square Library di New York untuk memulangkan buku perpustakaan itu yang telah lama tamat tempoh pinjamannya.

Berapa lamakah overdue?

38 tahun.

Atau lebih tepat lagi tarikh akhir pemulangannya adalah 16 June 1979 (kemungkinan untuk anda yang membaca ini belum lahir agak tinggi).

Kerani di perpustakaan tersebut yang terpinga-pinga tidak menjumpai sebarang rekod tentang peminjaman tersebut kerana sistem yang dahulu tidak lagi diguna pakai sejak sekian lama.

Pun begitu, rekod catatan dalam buku yang diberi tajuk The Woman in the White House itu sah menyatakan bahawa ia milik Tompkins Square Library. The Woman in the White House menceritakan tentang 12 orang isteri Presiden Amerika Syarikat yang mendiami White House sewaktu suami masing-masing memegang kuasa.

Yang memproses peminjaman ini pada tahun 1979 pun mungkin sudah meninggal dunia.

Berkebetulan, ini bukan kali pertama sebuah buku perpustakaan dipulangkan selepas 38 tahun tamat tempoh.

Dua tahun yang lepas (2015), sebuah buku yang dipinjam daripada sebuah perpustakaan awam di St. Albert, Canada dipulangkan oleh seorang ahli keluarga peminjam, juga selepas 38 tahun.

Buku yang bertajuk Anne’s House of Dreams tulisan Lucy Maud Montgomery adalah novel fiksyen yang mengisahkan tentang kehidupan seorang anak gadis.

Buku tersebut telah overdue sejak 25 November 1977.

Tak apa.

Biar lambat asal selamat.