Dipinang Penerbit ITBM, Buku Datuk Vida Terjah Pasaran

Buku Datuk Vida bakal muncul di pasaran. Tempahan online boleh dibuat bermula esok.

Buku yang diberi tajuk I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida, adalah biografi yang menceritakan turun naik kehidupan dan perniagaan kosmetik Datuk Vida yang juga sinonim dengan jenama Qu Puteh, dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Rekaan kulit buku ini pun boleh tahan.

Buku ini ditulis oleh Zinitulniza Abdul Kadir, yang sebelum ini menghasilkan beberapa judul bestseller termasuklah Mokhtar Dahari: Legenda Bola Sepak Malaysia, Mek Mulung, Kisah Inspirasi Tokoh Profesional Generasi FELDA, dan Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain.       

Berasal dari Machang, Kelantan, DS Vida atau nama penuhnya Datuk Seri Hasmiza Othman, bermula dengan bisnes kosmetik secara kecil-kecilan dan melalui liku-liku dan susah payah perniagaan selama lebih sedekad sebelum mengecapi kejayaan.

Antara pengalaman pahitnya adalah ditipu dan difitnah, manakala banyak sekali produk dan strategi mengembangkan bisnesnya menemui kegagalan. Dia juga mengalami perceraian yang pahit. Sebanyak tiga kali.

Sewaktu sedang meniti kejayaan, dua anaknya menemui ajal setelah rumah besar yang didiami sekeluarga musnah dalam kebakaran.

Dalam usaha melonjakkan bisnesnya sebagai sebuah ikon, Datuk Vida menjadikan dirinya sendiri sebagai duta produknya, dengan kemunculan dalam iklan-iklan TV, serta menjadi penaja kepada rancangan-rancangan TV popular.

Dua tahun yang lalu, syarikat Datuk Vida juga menaja pasukan bola sepak Kelantan tetapi akhirnya menarik diri daripada penajaan disebabkan prestasi teruk pasukan Kelantan.

Penerimaan Datuk Vida dalam masyarakat adalah bercampur aduk. Ada yang membenci, ada yang sinis, tetapi ramai juga yang meminatinya. Banyak mereka yang berada dalam dunia perniagaan dan keusahawanan memuji Datuk Vida yang pandai mengaplikasikan pendekatan psikologi dan emosi kepada prospek pelanggan.

Yang nyata, kemunculan dan gaya Datuk Vida sering kali mendapat respon menarik daripada orang ramai.

I Am Me merujuk kepada lagu popular Datuk Vida yang menjadi viral sejak kemunculannya di YouTube dan stesen-stesen radio Malaysia sehingga diparodikan oleh banyak pihak yang ingin menumpang populariti.

Lagu I Am Me dicipta oleh komposer tidak asing, Edry KRU.

Tempahan buku Datuk Vida ini boleh dibuat menerusi Facebook ITBM bermula Isnin 14 Ogos 2017.

Leave a comment