Buku terbitan bersama Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Kias Tersirat, berpeluang memenangi anugerah “Beauty and the Book” di Pesta Buku Frankfurt yang akan diadakan pada bulan Oktober ini.

Dianjurkan bersama oleh penganjur Pesta Buku Frankfurt dan Book Art Foundation, anugerah Beauty and the Book diberi kepada buku yang mempunyai rekaan paling cantik, yang mana pemenang akan dikira berdasarkan jumlah undian juri awam.

Undian diadakan dalam dua peringkat.

Peringkat pertama adalah undian secara online setelah sesebuah buku dicalonkan. Pencalonan boleh dibuat sehingga 8 September 2017.

Selepas 8 September, undian terus dibuka untuk kira-kira dua minggu berikutnya sebelum tarikh tutup 25 September. Undian pusingan awal akan dikira mengikut kategori.

Beauty and the Book mempertandingkan 10 kategori: 1. Kesusasteraan Am/General Literature; 2. Seni Bina/Architecture; 3. Rekaan/Design; 4. Do-It-Yourself; 5. Buku Foto/Photo Books; 6. Kanak-kanak & Remaja/Children & Young Adults; 7. Masakan/Cookbooks; 8. Buku Seni/Art Books; 9. Alam & Perkebunan/Nature & Gardening; dan 10. Kembara/Travel.

Buat masa ini, Kias Tersirat mengungguli kategori Kembara dengan lebih 550 undi.

Pemenang setiap kategori akan disenarai pendek untuk undian terakhir bagi penentuan pemenang utama.

Pemenang utama akan diumumkan pada 14 Oktober 2017.

Pesta Buku Frankfurt adalah pesta perdagangan buku terbesar di dunia dan dianggap acara paling penting dalam dunia penerbitan dan perbukuan. Di sinilah berlakunya urusan penjualan hak cipta, perlesenan, dan pemeteraian perjanjian-perjanjian penerbitan pada skala yang besar.   

Pesta Buku Frankfurt tahun ini akan berlangsung dari 11 hingga 15 Oktober 2017.

Ditulis oleh Herman Abdullah, lulusan dari University of South Australia (Sarjana Komunikasi) dan University of Central England (Sarjana Muda Teknologi Maklumat), Kias Tersirat memaparkan kehidupan orang Melayu di Dunia Melayu dengan menggunakan pendekatan fotojurnal.

Dunia Melayu yang dimaksudkan merangkumi Nusantara dan juga wilayah-wilayah lain yang didiami oleh rumpun Melayu seperti di Kemboja, Vietnam, Laos dan sebagainya.  

Kias Tersirat mempunyai ketebalan 320 muka surat dan dijual pada harga RM85.

Pencalonan untuk anugerah Beauty and the Book masih dibuka (pencalonan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja).

Mungkin ada yang ingin mencalonkan buku Fattah Amin, yang baru-baru ini dinobatkan sebagai Buku Paling Popular di Anugerah Buku Negara 2017 😇.