Albert Einstein (1879–1955) adalah ahli fizik teori (theoretical physicist) yang paling terkenal dalam sejarah.

Einstein mempelopori beberapa teori fizik yang merevolusi dunia sains, termasuklah antara lainnya teori relativiti, tenaga, fizik kuantum, dan elektrik. Sepanjang hayatnya, Einstein menghasilkan lebih 300 penulisan saintifik. Nama Einstein sangat sinonim dengan “genius.”

Dilahirkan di German, Einstein memulakan kerjaya sebagai kerani paten di Swiss Patent Office, Switzerland pada usia 23 tahun.

Beliau mula menulis artikel untuk jurnal sewaktu berkhidmat di Swiss Patent Office. Tugas yang terlalu rutin membolehkan Einstein meluangkan masa mengkaji bagaimana penemuan saintifik didokumen dan dipatenkan. Einstein juga sangat kuat berangan.  

Muka surat pertama manuskrip Albert Einstein yang mencadangkan teori relativiti am (general relativity theory)

Kebanyakan kajian saintifik asli oleh Albert Einstein ditulis dalam bahasa Jerman. Dan majoriti kajian dan penemuan ini diterbitkan dalam bentuk makalah jurnal.

Jurnal di mana banyak makalah-makalah awal Albert Einstein diterbitkan diberi nama Annalen der Physik (Bahasa Inggeris: Annals of Physics), salah satu jurnal saintifik tertua yang berpangkalan di Jerman dan wujud sejak tahun 1799.

Einstein adalah antara sebab utama Annalen der Physik menjadi sangat terkenal.  

Makalah pertama Albert Einstein bertajuk “Conclusions Drawn from the Phenomena of Capillarity” (dalam Bahasa Jerman) diterbitkan oleh Annalen der Physik pada tahun 1901.

Ironinya, teori yang dikemukakan oleh Einstein berkenaan interaksi molekul kemudiannya didapati sebagai satu teori yang gagal, kerana tidak mengikuti hukum fizik dengan tepat.  

Makalah kedua Einstein yang diterbitkan dalam jurnal yang sama juga melibatkan interaksi molekul, bertajuk “On the Thermodynamic Theory of the Difference in Potentials between Metals and Fully Dissociated Solutions of Their Salts and on an Electrical Method for Investigating Molecular Forces.”

Namun, sekali lagi makalah ini menjadi problematik kerana masalah ketidakcukupan data.

Beberapa tahun kemudiannya, Einstein melabelkan kedua-dua makalah awal beliau sebagai “sampah.”

Tetapi itu semua tidak mematahkan semangat Einstein untuk terus menulis dan mengemukakan teori-teori baru.

Tahun 1905 merupakan tahun yang digelar “tahun ajaib” untuk Einstein, yang mana makalah-makalah beliau terbit pada purata 2 makalah sebulan, sesuatu pencapaian mengagumkan untuk seorang anak muda yang baru berusia 26 tahun.

Pada tahun ini, Einstein bukan sahaja beliau menghasilkan makalah pada kadar produktiviti yang sangat tinggi, tetapi banyak teori dan idea yang dikemukan mula membuka mata saintis antarabangsa.

Contohnya, beliau mencadangkan kewujudan photon, iaitu zarah komponen yang berkaitan dengan radiasi elektromagnetik, yang kemudiannya menjadi asas kepada teori kuantum.

Penemuan penting Einstein ini akhirnya menghadiahkan beliau Hadiah Nobel pada tahun 1921. Meskipun begitu, beliau tidak dapat menikmati habuan wang tunai (bernilai lebih daripada gaji beliau untuk 12 tahun) kerana duit kemenangan itu digunakan sebagai sebahagian daripada perjanjian perceraian dengan isteri pertama beliau, Mileva.

Einstein dan Mileva pada saat bahagia. Photo: Onedio.com.

Annalen der Physik pada awalnya menerbitkan makalah dalam Bahasa Jerman, tetapi bermula 1950-an, terbitan Bahasa Inggeris mula muncul dan selepas penyatuan Jerman Barat dan Timur pada 1990, hanya tulisan Bahasa Inggeris yang diterbitkan.

Jurnal Annalen der Physik kini dimiliki oleh Wiley-VCH, anak syarikat John Wiley & Sons.

Tiga tahun yang lalu, semua makalah dan tulisan saintifik Albert Einstein (asal dan terjemahan) telah dikumpul dan didigitalkan oleh Princeton University Press dan boleh diakses pembaca secara percuma.

Leave a comment

Leave a Reply