Penerbit indie DuBook Press baru-baru ini telah melancarkan “Otak,” sebuah platform yang memberi akses kepada kandungan terbitan DuBook kepada pembaca.

Dibangunkan menggunakan content management system (CMS) popular WordPress, Otak menampilkan bab dan sedutan-sedutan menarik buku terbitan syarikat itu dan jika menggemarinya, anda boleh membeli buku tersebut menerusi pautan tertera serta maklumat lanjut yang dipaparkan.

Dengan rekaan web responsif, pembacaan boleh dilakukan secara optimum menerusi desktop dan peranti pelbagai saiz.

Selain daripada teks, tatapan berbentuk ilustrasi juga ditawarkan kepada pembaca.

Dengan motto “liar dan angkuh,” DuBook Press lahir kurang sedekad yang lalu (2010) dan ditubuhkan atas kekecewaan terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dianggap menerbitkan buku-buku yang kurang berjaya memenangi hati pembaca.

Menurut laman web DuBook sendiri, “Buku yang diterbitkan DuBook langsung tidak seperti buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka kerana kalaulah ianya sama, nescaya buku kami juga hidup segan mati tak mahu.”

Pada tahun 2015, nama DuBook gah di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur apabila berjaya menjual lebih 40,000 naskhah buku sepanjang berlangsungnya pesta. DuBook juga dinamakan antara 10 penerbit paling popular pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini.