Ditolak 12 Penerbit, Namun Manuskrip Jadi Bestseller Hebat

Manuskrip jadi bestseller. Daripada mimpi jadi kenyataan. Menakjubkan, bukan?

Harry Potter adalah sebuah novel fiksyen popular yang telah dimanifestasikan ke dalam pelbagai bentuk hiburan dan kini menjadi satu ikon popular culture.

Sehingga kini, lebih 400 juta naskhah novel Harry Potter telah terjual, menjadikan penulisnya, J. K. Rowling satu-satunya penulis di dunia yang berstatus billionaire. Nilai kekayaan Rowling dianggarkan RM3 billion. Manakala Harry Potter disenaraikan antara siri bestseller terhebat sepanjang sejarah penulisan.

Namun, di sebalik kejayaan Harry Potter, J. K. Rowling sebenarnya menempuh pelbagai mehnah, cabaran dan kegagalan sebelum kejayaan datang mengetuk pintu.

JK Rowling: Manuskrip jadi bestseller
J. K. Rowling. Photo: Daniel Ogren

Idea Lahir Dalam Keretapi Tergendala

Tujuh tahun. Satu tempoh yang panjang. Satu tempoh yang penuh dengan liku dan cabaran. 

Itulah tempoh yang dilalui sebelum manuskrip pertama Harry Potter berjaya disiapkan sejak Rowling menulis kali pertama pada tahun 1990. Idea manuskrip Harry Potter lahir sewaktu dalam perjalanan keretapi dari Manchester ke London yang menghadapi masalah kelewatan.

Dalam tempoh 7 tahun penghasilan manuskrip ini, ibunya meninggal dunia, anaknya lahir, perkahwinannya berakhir dengan perceraian, dan hidupnya penuh dengan ketidakcukupan. Rowling sedang bekerja sebagai seorang penyelidik untuk Amnesty International apabila idea untuk sebuah novel fiksyen tercetus.

Selepas kematian ibu tercinta, Rowling berhenti menulis. Dia dirudung kemurungan. Dia berhenti kerja dan ‘merayau’ ke Portugal. Beliau tercari-cari identiti diri. Beliau juga mencari ilham bagaimana untuk meneruskan hidup. 

Untuk menyara hidup, dia mengambil upah bekerja sebagai tutor Bahasa Inggeris. Di sini, Rowling bertemu teman lelaki Portugis dan kemudian berkahwin.

Namun, malang terus datang bertimpa. Selepas melahirkan anak perempuan, Rowling bercerai dengan suaminya. Siapa sangka. Disangkakan panas sampai ke petang, tetapi hujan di tengah hari. Apakan daya, ini satu suratan. Satu takdir. 

Keadaan memaksanya untuk pulang ke Edinburgh, Scotland, bersama anak kecilnya. Kini, dia terpaksa berhempas pulas untuk menyuap dua mulut. Kerana terdesak, beliau terpaksa bergantung kepada bantuan kebajikan kerajaan.

Secara perlahan Rowling meneruskan penulisan. Dia mencuri-curi menulis sewaktu anaknya tidur, memandangkan masa yang sangat terhad. Meskipun penat, beliau terus menulis. 

Selepas menghasilkan 3 bab yang pertama, Rowling mendekati sebuah penerbit untuk menjual proposal buku dan mendapatkan kontrak penerbitan. Penerbit ini tidak mengambil masa yang lama untuk menolak manuskrip Harry Potter.

Rowling menghantar manuskrip mentah ini kepada penerbit kedua. Jawapannya sama: rejected.

Penerbit ketiga. Keempat. Kelima. Dan seterusnya.

Pada penerbit yang kedua belas, Rowling telah berjaya menyiapkan manuskrip penuh. Namun jawapan tetap sama. Tiada kontrak penerbitan.

Dia hampir berputus asa.

Penerbit ketiga belas yang didekati adalah Bloomsbury Publishing. Editor Bloomsbury yang bertugas mempunyai seorang anak perempuan berumur 8 tahun yang menyukai bab awal Harry Potter dan merayu untuk membaca kandungan manuskrip yang lengkap.

Bloomsbury akhirnya mengikat perjanjian penerbitan dengan Rowling. Menurut Rowling, ia satu perjanjian yang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Sewaktu menandatangani perjanjian, dia diingatkan oleh editor Bloomsbury, “Walaupun dah jadi penulis, baik kamu cari kerja tetap, kerana menulis buku fiksyen kanak-kanak tidak dapat memberi duit banyak mana pun.”

Manuskrip jadi bestseller bukan gol asal

Siri Harry Potter yang bermula dengan satu kontrak ‘biasa-biasa’ akhirnya terjual sebanyak hampir setengah billion naskhah dan diterjemahkan ke dalam lebih 35 bahasa, menjadikan Rowling dan Bloomsbury kaya raya.

Harry Potter and the Philosopher's Stone

Rowling kini tersenarai sebagai manusia ke-13 terkaya di Britain, lebih kaya daripada Queen Elizabeth.

Namun, J. K. Rowling tetap merendah diri. Baginya, “kekayaan bukan objektif, tetapi adalah manifestasi kepada usaha gigih dan kemahuan untuk mengatasi kekecewaan.”

Setelah menulis buku Harry Potter yang ke-7 dan terakhir, Harry Potter and the Deathly Hallows pada 2007, Rowling masih lagi banyak bereksperimen dalam bidang penulisan dan penerbitan, dan aktif dalam usaha kebajikan, kerana dia sendiri pernah merasa hidup di bawah bantuan badan kebajikan.

J. K. Rowling juga aktif bertwitter. Di Twitter, Rowling kerap mengherdik polisi dan kelakuan Donald Trump.

JK Rowling's Twitter

Leave a comment