Pearson Buang 3,000 Staf, Isyarat Penerbit Perlu Reform

Pearson adalah penerbit paling besar di dunia.

Pearson menggaji lebih 32,000 pekerja dan beroperasi di lebih 70 negara. Di Asia Tenggara, Pearson memiliki pasukan chat support berpusat di Filipina. 

Dengan fokus kepada penerbitan ilmiah, Pearson mengeluar dan memasarkan produk yang mensasarkan pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Berpangkalan di London, United Kingdom, Pearson memiliki pelbagai jenama produk akademik seperti buku teks yang telah juga berjaya menembusi pasaran Malaysia. Antaranya Prentice Hall, Longman dan Addison-Wesley.

Buang 3,000 Staf, Langit Tak Selalunya Cerah

Baru-baru ini, Pearson mengumumkan pemberhentian staf besar-besaran melibatkan 3,000 staf setelah tahun 2016 mencatat kerugian paling dahsyat sepanjang kewujudan syarikat itu sejak dua dekad lalu.

Kerugian ini berikutan prestasi merudum jualan buku kepada pelajar-pelajar kolej di Amerika Syarikat. Amerika merupakan pasaran terbesar Pearson, dengan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada pendapatan daripada keseluruhan syarikat itu.

Sejak 2013, Pearson telah memberhentikan seramai 7,000 pekerja. Dengan pusingan lay-off yang terbaru ini, jumlah staf yang kehilangan kerja menjadi 10,000 orang. CEO Pearson, John Fallon, yang menerima gaji sebanyak RM6 juta setahun, turut menjadi sasaran pemegang saham, yang mahukan beliau meletak jawatan.   

Jualan pasaran pelajar kolej jatuh teruk berikutan pelajar kini lebih memilih alternatif produk online yang lebih murah sebagai bahan pembelajaran, berbanding buku teks fizikal. Generasi Z juga adalah generasi yang sangat savvy dengan konten digital.

Komplen tentang produk ilmiah yang mahal dan dominasi syarikat-syarikat penerbitan komersial yang “hanya fikir untung” bukan lagi baru. Selain daripada buku teks yang mahal, institusi pengajian tinggi, yang rata-rata kini menghadapi masalah kewangan, juga terpaksa membayar akses kepada langganan jurnal akademik pada kadar yang melampau kepada penerbit komersial.

Pemberhentian beramai-ramai pekerja Pearson ini memberi isyarat kepada penerbit-penerbit lain untuk bersiap siaga menantikan gelombang digital yang semakin meribut. Juga ia satu tanda untuk penerbit mereformasikan persembahan konten mereka, berdasarkan kepada perubahan gaya content consumption

Dunia perbukuan Malaysia sudah mula melangkah ke arah ebook dan platform digital, termasuklah dalam kalangan penerbit universiti. Namun, progres masih perlahan dan banyak cabaran yang masih perlu ditempuhi sebelum pasaran digital boleh menjadi tunjang kepada penyebaran ilmu.

Beberapa tahun lalu, ASEAN ebook Conference diperkenalkan di Malaysia. Namun ia bertahan hanya untuk dua siri: 2012 dan 2014.

Leave a comment