Pesta Buku Frankfurt 2017

Pada Pesta Buku Frankfurt 2017 yang baru berakhir, delegasi Malaysia melangkah gah apabila empat buku dari negara ini terpilih antara 10 finalis anugerah The Beauty and The Book Award, yang diperkenalkan sempena Pesta Buku Frankfurt, pesta buku dagang terbesar di dunia.

Namun begitu, pada peringkat akhir, keempat-empat buku ini gagal meraih kemenangan yang ditentukan berdasarkan undian pelawat.

Sebaliknya, anugerah The Beauty and The Book Award 2017 dimenangi oleh buku dari Jerman bertajuk Im Licht – Im Bild (Bahasa Inggeris: In the Light – In the Picture) tulisan Bernhard C. Striebel.

Buku ini diterbitkan oleh Edition Monhardt.

Buku yang merangkul anugerah The Beauty and The Book Award 2017

Apakah anugerah The Beauty and The Book Award ini?

Anugerah The Beauty and The Book Award ini diketengahkan untuk mengenalpasti, menonjolkan dan mengiktiraf buku-buku yang mempunyai desain atau rekaan terbaik. Anugerah ini kali pertama diperkenalkan pada tahun 2014.

Dianjurkan bersama oleh Frankfurt Book Fair dan Book Art Foundation, pengiktirafan ini dilaksanakan menerusi penilaian yang dibahagikan kepada dua peringkat pemilihan. Dalam kedua-dua peringkat pemilihan, kelayakan dan kemenangan dikira berdasarkan sistem undian.

Wakil Malaysia bersama pemenang (tengah). Foto: The Star

Pada peringkat awal, undian dilakukan secara online. Sesiapa sahaja boleh mengundi. Manakala, undian peringkat akhir (10 buku finalis) diadakan di lokasi berlangsungnya Pesta Buku Frankfurt.

Empat buku Malaysia yang terpilih ke peringkat akhir adalah:

1. Kias Tersirat: Perantauan Bertemu Melayu & Islam di Dunia Melayu Benua. Karya Herman Abdullah. Terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

2. Modern Mosques in Malaysia: Between Regionalism and Eclectism. Karya Wael A Yousef Mousa. Terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM).

Modern Mosques in Malaysia

3. Alegori Rumah Api. Karya Mat Luthfi. Terbitan PTS.

Alegori Rumah Api

4. Tulis! Jangan Takut-takut. Karya Zamri Mohamad. Terbitan Legacy Publishing.

Tulis Jangan Takut-Takut

Meskipun tewas dalam pertandingan The Beauty and The Book Award, dalam Pesta Buku Frankfurt 2017 ini, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) membawa pulang beberapa berita baik dan penting untuk negara.

Antara berita paling menggembirakan adalah tercapainya sasaran untuk mendapatkan kontrak penerbitan bernilai RM8 juta. Dilaporkan kontrak sejumlah RM9 juta berjaya dimeterai oleh penerbit-penerbit dari Malaysia.

Pesta Buku Frankfurt 2017 berlangsung pada 10-14 Oktober 2017, yang melibatkan penyertaan kira-kira 300,000 pempamer dan pengunjung.