Diberitakan Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad meninggal dunia hari ini pada jam 8 pagi di Hospital KPJ Kajang, Selangor.

Beliau berumur 84 tahun.

Shahnon Ahmad

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dilahirkan di Sik Kedah, pada tahun 1933, Shahnon Ahmad mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Sik dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Beliau bertugas sebagai guru di beberapa buah institusi sebelum berjaya mendapat tawaran ijazah sarjana muda di Australian National Universiti (ANU), Canberra, Australia.

Seterusnya beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan beralih ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Beliau memperoleh sarjana di USM dan berkhidmat di USM, sehingga dilantik menjadi dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan.

USM mengurniakan anugerah Profesor Emeritus kepada Shahnon Ahmad pada tahun 1993.

Shahnon Ahmad terkenal sebagai pendidik dan pengkarya yang prolifik. Karya beliau banyak menyentuh tentang kehidupan masyarakat menerusi novel, esei, cerpen, dan kritikan. Antara karya beliau yang terkenal adalah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Protes dan Serengenge.

Novel Ranjau Sepanjang Jalan

Novel Ranjau Sepanjang Jalan diangkat menjadi teks sastera tingkatan enam serta diterjemah dan diadaptasikan ke dalam bentuk filem. Sebuah akhbar Australia, The Sydney Morning Herald menyenaraikan Ranjau Sepanjang Jalan antara novel yang paling menarik dibaca untuk tahun 1972.

Jenazah allahyarham akan disolatkan di Surau Madani, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor pada tengahari ini.

Pemergian allahyarham Shahnon Ahmad merupakan satu kehilangan besar kepada dunia sastera dan penerbitan di negara ini.

Al-fatihah.