Tan Sri Mustapha Kamal orangnya low profile.

Meskipun disenaraikan Forbes sebagai antara 30 orang terkaya di Malaysia, tidak terlalu banyak orang mengenali Tan Sri Mustapha. Lebih ramai yang tahu bisnes yang diasaskannya, MK Land, pemaju hartanah yang kini bernilai berbilion ringgit.

Kehidupan Tan Sri Mustapha Kamal dibukukan dalam Mustapha Kamal: A Biography tulisan Sharmila Valli Narayanan, dan diterbitkan oleh MPH Group Publishing pada 2014.

Alkisahnya, Tan Sri Mustapha dahulunya adalah seorang penjawat awam yang dihormati. Jawatan terakhirnya sebagai kakitangan awam adalah Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

Suatu hari, Tan Sri Mustapha dilawati seorang lelaki Cina tua budiman yang tidak berhenti-henti berterima kasih atas keprihatinan Mustapha menerima kunjungannya dan melayan luahan beberapa isu. Setelah berbual, kedua-dua mereka keluar pejabat. 

Lelaki tua tersebut menemani Tan Sri Mustapha ke kereta yang baru dibeli Mustapha, Toyota Corolla (insiden ini berlaku pada 1977; memandu Toyota Corolla adalah lambang kejayaan besar seorang penjawat awam), malah membukakan pintu untuk Mustapha seolah-olah seorang driver.

Lelaki Cina itu kemudiannya ke keretanya sendiri.

Sebuah Mercedes-Benz besar.

“Hebat. Ingatkan orang tua miskin,” bisik hati Tan Sri Mustapha.

Kagum dengan kesantunan lelaki kaya itu, Tan Sri Mustapha keluar dari keretanya dan bertanyakan orang tua itu rahsia hidup berjaya.  

Kejadian itu akhirnya mendorong Tan Sri Mustapha berhenti kerja dan memulakan bisnes. Insiden itu juga sentiasa mengingatkan Tan Sri Mustapha untuk sentiasa merendah diri dan tidak menjadi angkuh biarpun sudah berjaya.

Dalam buku biografinya, Tan Sri Mustapha berkongsikan minat membaca. 3 buku yang menjadi favouritenya adalah seperti berikut.

1. Too Many Bosses, Too Few Leaders: The Three Essential Principles You Need to Become An Extraordinary Leader

Penulis: Rajeev Peshawaria

Manager tidak sama dengan leader. Dan seorang bos tidak semestinya seorang ketua yang berpengaruh dan berkarisma. Ini berlaku di mana-mana organisasi.

Buku Too Many Bosses, Too Few Leaders mengupas bagaimana kapten-kapten industri berwibawa dibawa masuk ke dalam syarikat yang sedang kucar kacir dan melakukan turnaround yang hebat.

Rajeev juga menggariskan latihan dan pendedahan yang diterima oleh ketua-ketua organisasi yang dihormati.

2. The Fish Rots from the Head: The Crisis In Our Boardroom

Penulis: Bob Garratt

“Ikan akan membusuk bermula dari kepalanya” adalah pepatah Cina yang banyak dirujuk dalam dunia bisnes. Baik buruknya sesebuah organisasi atau bisnes itu banyak bergantung kepada orang yang mengepalainya.

Skandal-skandal organisasi besar yang melanda Enron, WorldCom, Satyam, Tyco dan sebagainya didorong oleh ketamakan dan kelekaan mereka yang berada di atas.

Buku The Fish Rots from the Head: The Crisis In Our Boardroom memberi bimbingan kepada pembaca tentang tadbir urus korporat yang berkesan.

3. Start with Why: How Great Leaders Inspire Everyone to Take Action

Penulis: Simon Sinek

Simon Sinek popular menerusi ucapannya di Ted Talk, How Great Leaders Inspire Action yang sehingga ke hari ini ditonton oleh sebanyak 30 juta kali.

Start with Why merujuk kepada konsep bagaimana revolusi dalam bisnes, organisasi dan sains berlaku apabila seseorang atau organisasi bermula dengan bertanya, “kenapa?” Simon menerangkan bagaimana Wright Brothers, Martin Luther King dan syarikat Apple mencapai status lagenda dengan menggunakan pendekatan ini.