Memang ada sebab kenapa manuskrip ditolak sebenarnya.
Manuskrip ditolak penerbit adalah senario biasa dalam dunia penerbitan. Tidak kiralah apa yang nak diterbitkan: buku agama, novel, buku akademik, makalah jurnal dan lain-lain.
Ada penerbit yang menolak sehingga 90% daripada manuskrip. Bunyi macam kejam, tetapi itulah hakikatnya.
Setiap penerbit mempunyai Key Performance Indicator (KPI) tersendiri. Contohnya, untuk tahun ini mereka merancang untuk menerbitkan 100 judul. Jika jumlah manuskrip yang diterima adalah 1,000, maka 90% daripada manuskrip terpaksa ditolak.
Apa perasaan bila manuskrip ditolak?
Mestilah sedih. Kan. Ini kerana setiap penulis mahukan berita gembira setelah bertungkus lumus dan berhempas pulas menghasilkan manuskrip.
Menghasilkan manuskrip lengkap untuk penerbitan juga tidak mudah. Banyak proses, tenaga, masa dan malahan duit yang terlibat. Jadi kita semua mengharapkan terbaik setelah usaha ini selesai.
Kenapa Manuskrip ditolak?
Ada sebabnya kenapa manuskrip ditolak. Dan sebab-sebabnya sangat relevan.
Jadi, jika anda boleh meneliti sebab-sebab ini, insyallah anda boleh melakukan penambahbaikan yang diperlukan serta melaksanakan strategi lain bagi memaksimumkan peluang anda untuk diterima oleh penerbit lain.
Berikut adalah 3 sebab kenapa manuskrip ditolak penerbit.
1. Bukan skop penerbitan
Sebelum hantar manuskrip, semak skop dan genre penerbitan penerbit itu. Jika penerbit menerbitkan novel, penulisan novel bagaimanakah yang diterima.
Adakah semua bentuk novel termasuk cinta, seram dan sains fiksyen diterima? Adakah penerbit menerbitkan biografi? Dengan mengetahui lebih mendalam skop penerbit, anda boleh mengkaji dan memahami kenapa manuskrip ditolak, dan bukan sekadar membuat tuduhan melulu.
Kenal pasti bahasa konten yang diterbitkan penerbit. Misalnya, jika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak terbitkan karya Bahasa Inggeris, tak perlu lah hantar dan cuba ubah polisi.
Atau hantar surat/emel panjang-panjang serta marah-marah kenapa manuskrip ditolak. Nanti panjang pula cerita. Nak menunggu dah satu hal.
Bila menghantar manuskrip untuk terbitan sebagai makalah jurnal, pastikan juga skopnya betul. Jika jurnal memfokuskan kepada geografi, jangan lah pulak nak hantar manuskrip keagamaan.
2. Tidak ikut panduan
Mungkin sesetengah syarikat menerbitkan novel cinta dan kasih sayang, tetapi mengenakan syarat-syarat dalam kandungannya.
Contohnya, PTS Media yang mengamalkan prinsip patuh syariah tidak membenarkan adegan bercium dan berpegang tangan antara pasangan kekasih dalam buku. PTS juga hanya menerbitkan penulisan dalam Bahasa Melayu Tinggi.
Ambil tahu hal tersebut.
Begitu juga dengan penerbit akademik. Penulisan harus mengikut gaya, panduan dan format yang ditetapkan.
Contohnya, jika format bibliografi penerbit adalah gaya Harvard tetapi penulis menggunakan gaya Chicago Manual of Style, tunggulah manuskrip itu dipulangkan semula.
Penerbit yang baik akan menyediakan panduan penulisan manuskrip di laman web. Kenal pasti syarat dan panduan penerbit yang menjadi prospek anda.
3. Penerbit tidak berkenan dengan kandungan dan kualiti
Selain daripada itu, kandungan karya anda juga merupakan antara sebab penting kenapa manuskrip ditolak penerbit.
Contohnya, tahap Bahasa Inggeris tidak memuaskan.
Boleh jadi kandungan atau storyboard yang hampir sama pernah diterbitkan sebelum ini. Cliche saja. Tiada keaslian.
Mungkin juga penerbit merasakan pasaran untuk konten anda kurang “kick.”
Dunia akademik pula mengamalkan konsep pewasitan atau peer review, yang mana manuskrip berpotensi diberikan kepada mereka yang pakar dalam bidang kajian untuk dinilai. Penilaian yang kurang enak selalunya akan menjurus kepada penolakan.
Penerbit ilmiah yang baik akan memberikan sebab, alasan dan hujah kenapa manuskrip ditolak untuk diterbitkan. Hujah-hujah ini anda boleh gunakan untuk terus memperbaiki manuskrip anda untuk dihantar kepada penerbit lain.
Apapun, manuskrip ditolak bukan kerana penerbit suka-suka. Malah, bila manuskrip ditolak, penerbit juga rugi.
Penerbit juga rugi sumber yang telah digunakan untuk menelaah manuskrip itu. Mereka juga rugi daripada segi potensi produk dan pendapatan. Yelah, produk dah tak boleh pakai.
Fahami betul-betul kenapa manuskrip ditolak
Walaupun sedih dengan keputusan penerbit, lapangkan dada untuk memahami betul-betul kenapa manuskrip ditolak.
Jika perlu, bincang lebih lanjut dengan penerbit bagaimana anda boleh memperbaiki diri dan manuskrip. Selamat berjaya!
Selain daripada mengetahui kenapa manuskrip ditolak, laman web ini mengandungi banyak lagi kandungan menarik. Klik untuk ke halaman utama untuk terus membaca.