Tan Sri Mustapha Kamal (MK Land) Syor Baca 3 Buku Ini

Tan Sri Mustapha Kamal orangnya low profile.

Meskipun disenaraikan Forbes sebagai antara 30 orang terkaya di Malaysia, tidak terlalu banyak orang mengenali Tan Sri Mustapha. Lebih ramai yang tahu bisnes yang diasaskannya, MK Land, pemaju hartanah yang kini bernilai berbilion ringgit.

Kehidupan Tan Sri Mustapha Kamal dibukukan dalam Mustapha Kamal: A Biography tulisan Sharmila Valli Narayanan, dan diterbitkan oleh MPH Group Publishing pada 2014.

Buku ini sangat baik untuk dibaca oleh pelbagai golongan. Buku ini membincangkan tentang latar belakang Tan Sri Mustapha, pendidikan, kerjaya awal, serta kisah bagaimana beliau membuat keputusan untuk menukar kerjaya daripada seorang kakitangan awam kepada seorang usahawan.

Tan Sri Mustapha Kamal

Alkisahnya, Tan Sri Mustapha dahulunya adalah seorang penjawat awam yang dihormati. Jawatan terakhirnya sebagai kakitangan awam adalah Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Selangor.

Suatu hari, Tan Sri Mustapha dilawati seorang lelaki Cina tua budiman yang tidak berhenti-henti berterima kasih atas keprihatinan Mustapha menerima kunjungannya dan melayan luahan beberapa isu. Budi pekerti lelaki tersebut membuatkan Mustapha berasa senang hati. 

Setelah berbual dan selesai berurusan, kedua-dua mereka keluar pejabat. 

Lelaki tua tersebut menemani Tan Sri Mustapha Kamal ke kereta yang baru dibeli Mustapha, Toyota Corolla (insiden ini berlaku pada 1977; memandu Toyota Corolla adalah lambang kejayaan besar seorang penjawat awam), malah membukakan pintu untuk Mustapha seolah-olah seorang driver.

Lelaki Cina itu kemudiannya berjalan ke keretanya sendiri.

Kereta apa? Sebuah Mercedes-Benz besar.

“Hebat. Ingatkan orang tua miskin,” bisik hati Tan Sri Mustapha. Lagipun, sopan santun serta rendah diri lelaki tersebut membayangkan seolah-olah dia datang daripada golongan berstatus rendah.

Kagum dengan kesantunan lelaki kaya itu, Tan Sri Mustapha keluar dari keretanya dan bertanyakan orang tua itu rahsia hidup berjaya.  

Rupanya, barulah beliau menyedari bahawa lelaki tersebut seorang usahawan. Bukan sahaja usahawan, tetapi usahawan yang sangat berjaya dan kaya raya.

Kejadian itu seolah-olah satu tamparan kepada Mustapha. Baginya, orang yang benar-benar berjaya berada di dunia bisnes.

Kejadian tersebut juga akhirnya mendorong Tan Sri Mustapha Kamal berhenti kerja dan memulakan bisnes. Insiden itu juga sentiasa mengingatkan Tan Sri Mustapha untuk sentiasa merendah diri dan tidak menjadi angkuh biarpun sudah berjaya.

3 judul buku cadangan Tan Sri Mustapha Kamal

Dalam buku biografinya, Tan Sri Mustapha berkongsikan minat membaca. 3 buku yang menjadi favouritenya adalah seperti berikut.

1. Too Many Bosses, Too Few Leaders: The Three Essential Principles You Need to Become An Extraordinary Leader

Too many bosses, too few leaders

Penulis: Rajeev Peshawaria

Manager tidak sama dengan leader. Dan seorang bos tidak semestinya seorang ketua yang berpengaruh dan berkarisma. Ini berlaku di mana-mana organisasi.

Buku Too Many Bosses, Too Few Leaders mengupas bagaimana kapten-kapten industri berwibawa dibawa masuk ke dalam syarikat yang sedang kucar kacir dan melakukan turnaround yang hebat.

Rajeev juga menggariskan latihan dan pendedahan yang diterima oleh ketua-ketua organisasi yang dihormati.

2. The Fish Rots from the Head: The Crisis In Our Boardroom

The fish rots from the head

Penulis: Bob Garratt

“Ikan akan membusuk bermula dari kepalanya” adalah pepatah Cina yang banyak dirujuk dalam dunia bisnes. Baik buruknya sesebuah organisasi atau bisnes itu banyak bergantung kepada orang yang mengepalainya.

Skandal-skandal organisasi besar yang melanda Enron, WorldCom, Satyam, Tyco dan sebagainya didorong oleh ketamakan dan kelekaan mereka yang berada di atas.

Buku The Fish Rots from the Head: The Crisis In Our Boardroom memberi bimbingan kepada pembaca tentang tadbir urus korporat yang berkesan.

3. Start with Why: How Great Leaders Inspire Everyone to Take Action

Start with Why

Penulis: Simon Sinek

Simon Sinek popular menerusi ucapannya di Ted Talk, How Great Leaders Inspire Action yang sehingga ke hari ini ditonton oleh sebanyak 30 juta kali.

Start with Why merujuk kepada konsep bagaimana revolusi dalam bisnes, organisasi dan sains berlaku apabila seseorang atau organisasi bermula dengan bertanya, “kenapa?” Simon menerangkan bagaimana Wright Brothers, Martin Luther King dan syarikat Apple mencapai status lagenda dengan menggunakan pendekatan ini.

Note: Blog ini juga membincangkan banyak lagi topik menarik selain berkenaan Tan Sri Mustapha Kamal. Klik untuk ke homepage dan terus membaca.  

Leave a Reply