Pesta Buku Indie di KL, 19-20 Ogos 2017

Sebuah pesta buku indie yang diberi nama KL Alternative Bookfest 2017 + Arts for Grab akan diadakan di The Boulevard, Publika, Kuala Lumpur pada 19-20 Ogos 2017.

Pesta Buku Indie 2017

Pesta buku ini akan mengumpulkan penerbit-penerbit indie dari Malaysia. Setakat ini, sejumlah 80 booth ditempah untuk menempatkan penerbit-penerbit indie ini.

Selain buku, pesta buku ini menampilkan Arts for Grab, komuniti popular yang menganjurkan jualan-jualan bazaar dan mini fest dan memperkenalkan bakat-bakat seni dan keusahawanan tempatan.

Arts for Grab menjual kraf, projek-projek seni, makanan, buku dan sebagainya, sebagai inisiatif untuk mengembangkan dan memperkenalkan bakat dan komuniti kreatif di Malaysia. Arts for Grab sudah bermula sejak 10 tahun yang lepas.

Antara penerbit-penerbit indie yang akan turut serta dalam KL Alternative Bookfest ini adalah Fixi (juga penaja utama), Lejen Press, Thukul Cetak, Dubook, SeLUT Press, Maple Comics, Terfaktab, Gerakbudaya, Merpati Jingga dan sebagainya.

Selain jualan, pesta buku indie juga akan menampilkan beberapa acara lain termasuklah pelancaran buku, persembahan, forum, dialog dan pertandingan.

Buku Amok at Chow Kit, terjemahan kepada bestseller Konfesi Prebet Adam akan dilancarkan di pesta buku ini. Dikatakan beberapa watak utama kes ini akan hadir termasuklah peguam Tan Sri Shafee Abdullah dan Datuk Abdul Ghani Abdullah, bekas jeneral tentera yang berjaya memujuk Prebet Adam menyerahkan diri tanpa melepaskan sebarang tembakan.

Antara forum yang dianjurkan adalah “Sekolah Kemangsaan Malaysia” yang akan membincangkan tentang isu buli yang berlaku di sekolah-sekolah di Malaysia.

Pesta Buku Indie 2017

Forum “Manifesto for a Better Malaysia” juga dirancang di mana orang awam dijemput membentangkan apakah manifesto dan rancangan untuk negara jika sekiranya dia berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri.

Pesta Buku Indie 2017

Penerbit-penerbit indie mula tumbuh bagai cendawan sejak hampir sedekad lalu. Mereka hadir memaparkan pendekatan karya alternatif yang lebih segar dan menepati citarasa generasi baru.

Kemunculan penerbit-penerbit indie yang dianggap “kurang sopan” dan “liar” tidak disenangi banyak penerbit arus perdana, tetapi otai industri buku kini mula mengiktiraf penerbitan indie sebagai game changer dalam industri.

Leave a comment