Scopus Lancar CiteScore, Rancakkan Perang Menentang Web of Science

Scopus, pangkalan data ilmiah milik Elsevier, baru-baru ini telah melancarkan CiteScore, satu bentuk metrik yang mengukur prestasi dan impak jurnal yang diindeks di dalam Scopus.

CiteScore adalah jawapan Scopus kepada Impact Factor, metrik terkemuka oleh pangkalan data pesaing, Web of Science (dahulunya dikenali sebagai ISI).

Scopus CiteScore research publication metric

Bagaimana CiteScore Scopus Dikira?

Sama seperti Impact Factor, CiteScore mengambil kira nisbah sitasi tahun terkini berbanding jumlah makalah yang diterbitkan tiga tahun yang kebelakangan. Ada sedikit perbezaan dalam segi pengiraan citable documents, tetapi perbezaan tersebut tidak akan dibincangkan di sini.

CiteScore 2016 = Jumlah sitasi untuk tahun 2016 / (Jumlah makalah terbit pada tahun 2013, 2014 dan 2015)

Berikut adalah pengiraan CiteScore 2016 untuk beberapa jurnal yang diterbitkan oleh penerbit akademik dari Malaysia.

1. Sains Malaysiana (Penerbit UKM)

CS2016 = 447/716 = 0.62

2. Malaysian Journal of Library and Information Science (Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya)

CS2016 = 44/62 = 0.71

3. Journal of Physical Science (Penerbit USM)

CS2016 = 48/48 = 1.00

4. Pertanika Journal of Social Science and Humanities (Penerbit UPM)

CS2016 = 63/519 = 0.12

5. 3L: Language, Linguistics, Literature (Penerbit UKM)

CS2016 = 35/93 = 0.38

6. Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society (Springer-Penerbit USM)

CS2016 = 222/283 = 0.78

Elsevier, Scopus dan Konflik Kepentingan

Scopus dimiliki oleh Elsevier yang juga merupakan antara penerbit ilmiah terbesar di dunia pada hari ini. Berpusat di Amsterdam, Netherlands, Elsevier menauingi lebih 2,500 jurnal akademik dan menerbitkan hampir setengah juta makalah jurnal setahun.

Fakta bahawa satu pangkalan data jurnal penting dimiliki oleh sebuah penerbit jurnal adalah satu ironi yang agak menggusarkan. Banyak pihak khuatir konflik kepentingan akan menyebabkan Elsevier cenderung untuk memberikan perhatian dan “markah lebih” kepada jurnal-jurnal yang diterbitkan syarikat itu.

Analisa oleh penyelidik dari Eigenfactor sedikit sebanyak menunjukkan bahawa CiteScore lebih banyak memanfaatkan jurnal-jurnal terbitan Elsevier.

Elsevier juga sebelum ini menjadi subjek kepada kritikan terhadap praktisnya yang terlalu menekan keuntungan. Pada tahun 2016, Elsevier mencatat margin keuntungan hampir 40%, hampir menyamai kadar keuntungan syarikat gergasi Apple.

Kenapa Scopus dan Web of Science Penting Untuk Jurnal Ilmiah?

Kedua-dua pangkalan data Scopus dan Web of Science penting sebagai platform pengukur prestasi dan produktiviti ahli akademik. Banyak universiti mewajibkan ahli-ahli akademik di institusi mereka untuk menerbitkan makalah di dalam jurnal-jurnal yang diindeks oleh Scopus atau Web of Science, atau kedua-duanya, sebagai syarat memenuhi key performance indicator (KPI), kenaikan pangkat, dan sebagainya.

Buat masa ini, Scopus mengindeks sejumlah lebih 22,000 jurnal ilmiah yang diterbitkan lebih 5,000 penerbit. Web of Science pula sehingga kini mengindeks 12,000 jurnal.

Scopus dan Web of Science mempunyai sejarah persaingan hebat dalam menerajui dunia pengindeksan maklumat bibliografi jurnal ilmiah. Masing-masing cuba menjual kelebihan tersendiri. Contohnya, Web of Science menekankan “kualiti,” sementara Scopus mempromosikan “transparensi.”

Pada tahun 2016, Web of Science berpisah daripada syarikat induk Thomson Reuters dan kini bernaung di bawah Clarivate Analytics.

Leave a comment