Dalam senarai yang dikeluarkan oleh Publisher’s Weekly, tidak mengejutkan untuk melihat barisan penerbit akademik mendominasi ranking 10 penerbit paling besar di dunia.

Penerbit akademik mempunyai leverage pasaran, seperti buku teks yang dijual berulang-ulang sepanjang tahun. Malah, apabila ada pertukaran kurikulum di sekolah atau institusi pengajian tinggi, mereka lah yang akan lekas “menyapu” kontrak baru.

Ranking 10 penerbit terbesar di bawah ini ditentukan berdasarkan saiz pendapatan (revenues) tahunan. Semuanya main billion sahaja.

1. Pearson (RM28 billion)

Ibu pejabat: London, UK

Pearson adalah pemilik kepada beberapa jenama ilmiah terkenal seperti Prentice Hall, Longman, Addison-Wesley, eCollege, dan lain-lain.

Meskipun gah dengan pendapatan hampir RM30 billion setahun, Pearson sebenarnya sedang dirundung kelumit kerugian. Beberapa hari lepas, Pearson mengumumkan akan membuang 3,000 pekerja. Malah, CEOnya sendiri berkemungkinan dipecat.

2. Thomson Reuters (RM25 billion)

Ibu pejabat: New York, Amerika Syarikat

Dilahirkan di Canada, Thomson Reuters disenaraikan di papan New York Stock Exchange (NYSE) dan Toronto Stock Exchange (TSE). Thomson mempunyai lebih 60,000 staf dan beroperasi di lebih 100 negara.

3. RELX Group (RM22 billion)

Ibu pejabat: London, UK

RELX adalah syarikat induk Elsevier, yang memiliki pangkalan data Scopus. Walaupun berpangkalan di UK, separuh daripada bisnes RELX dijana oleh pasaran Amerika.

4. Wolters Kluwer (RM20 billion)

Ibu pejabat: Alphen aan den Rijn, Belanda

Wolters Kluwer bermula sebagai sebuah penerbit kecil-kecilan yang menjual buku untuk pelajar sekolah. Kekuatan Wolters Kluwer adalah penjualan produk secara online, dengan lebih 70% bisnes diperolehi daripada bisnes online.

5. Penguin Random House (RM18 billion)

Ibu pejabat: New York, Amerika Syarikat

Dua penerbit besar, Penguin (dimiliki oleh Pearson) dan Random House, bergabung pada tahun 2013. Maka lahirlah penerbit buku dagang (trade books) terbesar Penguin Random House. Penguin Random House menerbitkan buku-buku fiksyen, bukan fiksyen, dan bisnes.  

6. China South Publishing & Media Group (RM12 billion)

Ibu pejabat: Changsa, China

China South Publishing & Media Group terlibat dalam bisnes penerbitan, percetakan, pengedaran dan media. Produk-produk yang ditawarkan adalah surat khabar, buku teks, alat tulis, serta produk-produk untuk pasaran digital.

7. Phoenix Publishing & Media Company (RM11 billion)

Ibu pejabat: China

Phoenix Publishing & Media Company memiliki lebih 15 syarikat penerbitan, serta lebih 60 cawangan kedai buku. Syarikat ini menerbitkan lebih 20,000 judul setahun. Jumlah ini lebih banyak daripada jumlah keseluruhan judul yang diterbitkan di Malaysia pada masa ini (Malaysia melahirkan secara purata 17,000 judul baru setahun).

8. Hachette Livre (RM10 billion)

Ibu pejabat: Paris, Perancis

Antara penerbit tertua dalam senarai ini. Hachette Livre bermula sebagai sebuah kedai buku yang menjalankan bisnes penerbitan secara kecil kecilan, dan kini gah sebagai penerbit paling besar di Perancis. Pernah bergaduh besar dengan Amazon.com pada 2014 kerana isu pengagihan komisen.  

9. McGraw-Hill Education (RM8 billion)

Ibu pejabat: New York, Amerika Syarikat

McGraw-Hill menerbitkan buku-buku ilmiah (buku teks, silibus pengajaran) dan buku-buku dagang (bisnes, keusahawanan, dsb.). Antara penerbit yang sangat agresif mengembangkan sayap digital pada hari ini.

10. Grupo Planeta (RM 7 billion)

Ibu pejabat: Barcelona, Sepanyol

Dalam senarai penerbit paling besar ini, syarikat ini yang paling banyak diversiti. Selain penerbitan, Grupo Planeta menjalankan bisnes antik, latihan, pendidikan jarak jauh, dan audivisual.