Baru-baru ini, Google Translate mengintegrasi rangkaian neural (neural network) yang menambah baik keupayaan Google Translate menterjemah bahasa.
Ini adalah antara kemas kini Google Translate yang paling penting yang membawa impak besar kepada kualiti penterjemahan Google Translate, termasuklah terjemahan ke dalam (dan daripada) Bahasa Melayu.
Rangkaian neural, satu bentuk artificial intelligence, merujuk kepada kebolehan mesin/komputer untuk belajar dan memperbaiki diri mirip kepada perkembangan biologi otak manusia. Menerusi rangkaian neural, penterjemahan sesuatu ayat atau frasa akan berlaku menurut konteks ayat dan bukan mengikut perkataan individu.
Terjemahan Google Translate
Contohnya, sebelum kemas kini neural network, frasa “artificial intelligence” akan diterjemah sebagai “kecerdikan tiruan.” Tetapi kini Google Translate akan menterjemah frasa tersebut kepada “kecerdasan buatan,” terjemahan yang lebih tepat dengan konteks ayat. Yang lebih utama, prestasi terjemahan ayat-ayat yang panjang oleh Google Translate kini jauh lebih baik berbanding sebelum ini.
Kemas kini terbaru Google Translate rata-rata dipuji dan disambut baik oleh pengguna internet, meskipun ada sesetengah pihak menganggap perkembangan ini satu ancaman kepada penterjemah, kerana ini mungkin akan menjejaskan permintaan pasaran untuk penterjemah profesional.
Google Translate kini digunakakan oleh lebih 200 juta orang setiap hari. Google Translate menyokong terjemahan untuk lebih 100 bahasa dari seluruh dunia.