Pada malam 18 Oktober 1987, negara digemparkan dengan kejadian amukan seorang anggota tentera yang berlaku di tengah-tengah kesibukan kota di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Kawasan Chow Kit yang terkenal sebagai kawasan yang sibuk dan hiruk pikuk bisnes, menjadi huru hara, orang ramai berlari lintang pukang menyelamatkan diri dek tembakan rambang yang dilepaskan.   

Anggota tentera tersebut, Prebet Adam Jaafar, dikatakan telah melepaskan tembakan secara membabi buta menggunakan senjata M-16 yang dicuri di kem tempatnya bertugas di Ipoh, sehingga mengorbankan nyawa seorang awam. Beberapa das tembakan juga mengenai sebuah tangki di stesen minyak Shell, mengakibatkan kebakaran.  

Drama berakhir setelah Prebet Adam akhirnya menyerah diri selepas dipujuk oleh seorang pegawai tinggi tentera, Brigedier Jeneral Abdul Ghani Abdullah, yang merupakan Asisten Panglima Operasi Tentera Darat.    

Prebet Adam dicaj tidak siuman dan telah dimasukkan ke hospital psikiatri, Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, Perak.

Dikatakan, Prebet Adam mengamuk kerana adiknya yang bekerja sebagai kedi golf dibunuh oleh Sultan Johor pada ketika itu, Sultan Mahmood Iskandar.

Sejauh Manakah Kebenarannya?

Hampir 30 tahun selepas kejadian, Konfesi Prebet Adam sebuah buku yang dikatakan membongkar kejadian dan sebab sebenar amukan tersebut diterbitkan oleh Dubook Press.

Buku ini ditulis oleh Syahril A. Kadir, seorang bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa media masa termasuklah Utusan Malaysia, TV Al-Hijrah dan Sinar Harian. Dan kandungan buku ditulis berdasarkan kepada pengakuan sebenar Prebet Adam dalam beberapa siri pertemuan, serta dokumen-dokumen perbicaraan.

Sultan Johor Tiada Kaitan

Menurut buku Konfesi Prebet Adam ini, amukan Prebet Adam tiada kaitan langsung dengan Sultan Johor, tetapi berlaku disebabkan tekanan emosi disebabkan gangguan fizikal dan seksual yang dilakukan oleh anggota tentera kepadanya di kem tentera.

Antara pengalaman buli dan penderaan yang terpaksa dilalui Adam adalah dipukul dan ditumbuk bertubi-tubi, mencium orang awam, serta dipaksa melakukan seks oral.

Buku ini juga banyak mengisahkan latar belakang kehidupan peribadi dan keluarga Prebet Adam, yang menyimpulkan bahawa Prebet Adam memang melalui detik-detik sukar sewaktu membesar, termasuklah menyaksikan sendiri adiknya maut rentung.

Kini berusia lebih 50 tahun, Prebet Adam kini menghabiskan sisa-sisa kehidupannya di sebuah perkampungan di utara semenanjung.  

Buku Konfesi Prebet Adam yang menjadi bestseller telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan tajuk Amok at Chow Kit.

Yang kekal menjadi misteri sehingga hari ini adalah, siapakah dalang yang menghasut bahawa amukan Prebet Adam di Chow Kit adalah berpunca daripada Allahyarham Sultan Johor?