Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini dalam persediaan terakhir untuk mengumumkan jurnal-jurnal akademik yang akan menerima Anugerah CREAM 2017.
Anugerah CREAM 2017 menawarkan hadiah untuk tiga kategori utama: Kategori Web of Science (penilaian berdasarkan Impact Factor dan Quartile); Kategori Scopus (Percentile dan CiteScore); dan Kategori Jurnal Berpotensi (juga Percentile dan CiteScore dalam Scopus).
Pusat Sitasi Malaysia, yang diselia KPT, baru-baru ini telah mengemas kini beberapa pencapaian jurnal-jurnal yang telah dinilai. Pencapaian ini telah dipamerkan dalam bentuk infografik.
Berdasarkan prestasi, untuk kategori Web of Science, jurnal Bulletin of the Malaysian Mathematical Sciences Society, yang telah menerima anugerah ini pada 2015 dan 2016, dilihat berpeluang cerah untuk mengekalkan anugerah ini buat tahun ketiga berturut-turut.
Sementara itu, untuk kategori Scopus, jurnal-jurnal dari Penerbit Universiti Malaysia Pahang (International Journal of Automotive and Mechanical Engineering, Journal of Mechanical Engineering and Sciences), Penerbit Universiti Sains Malaysia (Journal of Construction in Developing Countries, Tropical Life Sciences Research, Journal of Physial Science), Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (GEMA Online Journal of Language Studies) dan Penerbit Universiti Putra Malaysia (Pertanika Journal of Social Sciences and Humanities) dilihat berpeluang cerah menerima Anugerah CREAM 2017.
CREAM, atau nama panjangnya Current Research in Malaysia, adalah anugerah yang pertama kali diperkenalkan oleh KPT pada 2015 sebagai satu inisiatif untuk mengiktiraf jurnal-jurnal akademik dan penerbit ilmiah yang menunjukkan prestasi tinggi.
Antara kriteria untuk melayakkan pencalonan ke anugerah CREAM adalah pengindeksan dalam MyJurnal dan MyCite (kedua-duanya di bawah tanggungjawab Pusat Sitasi Malaysia), serta Web of Science (anugerah kategori Web of Science) dan Scopus (anugerah kategori Scopus).
Pemenang anugerah CREAM akan menerima ganjaran insentif untuk membantu dalam usaha memantap dan membangunkan penerbitan dan mutu penerbitan jurnal.