Pesta Buku Frankfurt 2017

Pesta Buku Frankfurt 2017 (Frankfurt Book Fair 2017) akan berlangsung pada 11-15 Oktober 2017 bertempat di Messe Frankfurt (Pusat Dagang Frankfurt), Frankfurt, Jerman.

Pesta Buku Frankfurt adalah pesta dagang terbesar bidang bidang penerbitan, diukur daripada sudut penyertaan dan jumlah pengunjung. Acara ini mengumpulkan lebih 7,000 pempamer dari lebih 100 negara, dan dilawati lebih suku juta pelawat sepanjang pesta.

Setiap tahun, pesta buku utama ini diadakan pada bulan Oktober dan berlangsung selama lima hari.

Oleh kerana saiznya yang besar, pameran dibahagikan kepada beberapa dewan, malah ada tahun yang mana pameran diadakan dalam 10 dewan yang berlainan. Ada pempamer dan peserta yang perlu menggunakan shuttle untuk pergi dari dewan ke dewan pameran yang lain.

Berbeza dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, Pesta Buku Frankfurt adalah lebih kepada acara menemukan pelawat dagang (trade visitors, iaitu untuk tujuan bisnes), terutamanya tiga hari yang pertama.

Pesta Buku Frankfurt (Frankfurt Book Fair)
Foto: publishingperspectives.com

Orang ramai boleh hadir pada dua hari terakhir (kebiasaannya hujung minggu), dan perlu membayar yuran masuk.

Pesta Buku Frankfurt pesta buku tertua

Selain daripada terbesar, Pesta Buku Frankfurt juga antara pesta buku yang tertua di dunia, dan telah berlangsung lebih 500 tahun bermula pada kurun ke-15 lagi.

Awalnya bermula sebagai sebuah acara menjual beli manuskrip, pesta buku ini terus berkembang setiap tahun sehingga kini menjadi acara kemestian buat penerbit dan penyedia konten.

Industri perbukuan dan penerbitan menganggap Pesta Buku Frankfurt sebagai acara terpenting dalam kalendar bisnes mereka, terutamanya mereka yang agresif dalam pelan pengantarabangsaan dan pengembangan.

Kenapa?

Pertamanya, banyak rundingan penting berlaku di Pesta Buku Frankfurt yang melibatkan hal-hal penerbitan seperti: matchmaking antara pengkarya dan penerbit berpotensi; hak cipta (rights) seperti terjemahan, terbitan ke layar perak, dsb.; perlesenan (seperti konten dan merchandising); rundingan penerbitan bersama (co-publishing) dan lain-lain.

Selain itu, ramai penerbit menjadikan Pesta Buku Frankfurt sebagai platform promosi dan publisiti. Banyak pelancaran buku diadakan di sini dengan harapan publisiti meluas akan membawa pulangan kepada penerbitan. Ada yang berharap aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan akan “tertangkap” di media massa antarabangsa.   

Malaysia juga telah lama menyertai Pesta Buku Frankfurt ini. Delegasi Malaysia diketuai oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), yang membawa pengkarya serta penerbit komersial dan akademik.

Pesta Buku Frankfurt (Frankfurt Book Fair)
Reruai Malaysia. Foto: peopleinpublishing.com

Setakat ini, reaksi penyertaan Malaysia ke Pesta Buku Frankfurt agak bercampur aduk. Walaupun rutinnya maklum balas penyertaan Malaysia dilihat memuaskan, ada juga beberapa kontroversi yang terpalit.

Contohnya, pada tahun 2014, delegasi Malaysia dituduh “mencuri” tarian kebudayaan Indonesia oleh media massa di Indonesia.

Main masak-masak

Sementara pada tahun 2016, MalaysiaKini menerbitkan tulisan seorang penerbit indie yang nyata tidak selesa dengan delegasi Malaysia yang “main masak-masak” di sebuah pesta buku yang amat penting.

Dalam dunia bisnes, Messe Frankfurt dikenali antara lokasi pesta dagang yang paling berjaya dalam dunia dengan penganjuran pameran dan pesta-pesta terbesar yang menarik peserta dan pengunjung global.

Pelbagai bisnes dan industri menganjurkan acara-acara penting untuk industri mereka dalam usaha untuk memperkenal dan memasarkan produk dan servis mereka kepada rakan niaga berpotensi dan pembeli/pelanggan. 

Antara lain, Messe Frankfurt adalah pakar dalam penganjuran acara dalam bidang teknologi, logistik, penerbitan, tekstile, automotif, hiburan, media dan industri kreatif.

Setiap tahun, Pesta Buku Frankfurt melantik akan sebuah (atau beberapa) negara sebagai negara tetamu kehormat (Guest of Honor).

Dua tahun lalu (2015), Indonesia menjadi tetamu kehormat di acara ini.

Tetamu kehormat adalah satu penganugerahan yang amat penting kepada negara yang terpilih. Ini kerana tetamu kehormat akan mendapat highlight istimewa sepanjang penganjuran Pesta Buku Frankfurt selama 5 hari ini. 

Reruai Indonesia 2016. Foto: republika.co.id

Untuk edisi Pesta Buku Frankfurt 2017, tetamu kehormat acara ini adalah jiran sebelah Jerman, iaitu Perancis.

Negara-negara lain yang pernah menjadi tetamu kehormat sebelum ini termasuklah Finland (2014), Brazil (2013), New Zealand (2012), Iceland (2011), Argentina (2010) and China (2009).

Leave a comment